Lima produk kosmetik tercemar

Lima produk kosmetik tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Lima produk kosmetik yang dijual di pasaran negara ini telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan berikutan ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Produk-produk tersebut ialah Gt Bleaching Cream Anti-Aging with Antioxidant, dikilangkan/diedarkan oleh GT Cosmetic Manufacturing Inc., Filipina, yang didapati dicemari dengan Hydroquinone, dan Miracle White Brightening Cream with Vitamin B3 & Aloe Vera oleh Miracle Cosmetics International yang dicemari Merkuri.

Tiga lagi adalah Glow Glowing Beauty Skin-Treatment Toner Glowing Beauty; Clariderm Astringent No. 1-AHA + Licorice (for maintenance) dan Clariderm Astringent No. 2-AHA + Licorice (for normal to oily skin) oleh Jirah Manufacturing Corporation, San Mateo, Rizal, Filipina, yang mana ketiga-tiga produk ini dicemari dengan Hydroquinone dan Tretinoin

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menekankan bahawa bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan, dengan merkuri merupakan bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaan merkuri dalam produk kosmetik dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

GT Bleaching Cream Anti-Aging with Antioxidant.
GT Bleaching Cream Anti-Aging with Antioxidant.
Glow Glowing Beauty Skin-Treatment Toner Glowing Beauty.
Glow Glowing Beauty Skin-Treatment Toner Glowing Beauty.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna, yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Hydroquinone dan tretinoin pula adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitif, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Kementerian Kesihatan turut menekankan bahawa pihak mereka telah membatalkan Surat Pengakuan Notifikasi bagi produk Clariderm Astringent No. 1-AHA + Licorice (for maintenance) dan Clariderm Astringent No. 2-AHA + Licorice (for normal to oily skin).

Manakala itu, bagi produk selebihnya yang disebutkan, Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) di-ingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik dipasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5000 penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA