Lima saranan penting untuk kembangkan ekonomi

Lima saranan penting untuk kembangkan ekonomi

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Dalam ucapan penangguhannya pada hari ke-12 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, petang tadi, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad (gambar) menyentuh lima perkara penting sebagai saranan bagi mengembang majukan ekonomi negara dan destinasi pelancongan di Negara Brunei Darussalam.

Pertama, di Daerah Belait terdapat banyak lokasi yang berbentuk alam semula jadi yang menarik pelancong kalau diterokai sepenuhnya, yang mana jika diurus secara Public Private Partnership (PPP) dengan nilai tambah bersesuaian, ia tidak mustahil untuk menarik minat pelancong berkunjung ke Negara Brunei Darussalam dan ini akan menyumbang pertumbuhan ekonomi negara.

Kedua, negara memerlukan generasi berwawasan, dinamik dan berdaya saing yang harus lebih berusaha gigih dan komited bagi merealisasikan Wawasan 2035.

Dalam saranan ini, Yang Berhormat menyeru agar menyediakan platform yang bersesuaian untuk mereka berkembang, dilengkapi dengan ilmu duniawi dan ukhrawi serta diiringi dengan Mentorship yang boleh membina dan membantu perkembangan mereka sehingga berjaya.

Menurut Yang berhormat Haji Mohd Shafiee, Generasi Y iaitu generasi masa kini sangat bertuah kerana dapat menikmati pendidikan dan lain-lain telah dapat disediakan oleh pihak kerajaan dengan secukupnya.

pg03_160322_b

Jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya, tambah beliau, generasi hari ini hendaklah mempunyai iltizam tinggi dan jangan mudah rapuh untuk mengawal diri daripada arus perkembangan globalisasi masa kini.

Saranan ketiga yang disentuhnya adalah mengenai dasar kerajaan yang pro-business yang mana, mindset kakitangan perkhidmatan awam dalam melayani pelanggan haruslah berubah.

Selain perniagaan ketika ini boleh dijalankan secara online dan mudah, Yang Berhormat mencadangkan supaya rancang ‘Ease of Doing Business’ dapat dipermudahkan kepada para belia negara dengan memberikan tunjuk ajar yang membina, bantuan kewangan yang berpatutan perlu dihulurkan jika diperlukan bagi memudahkan peniaga-peniaga muda berkembang, kursus-kursus yang relevan harus diteruskan dari semasa ke semasa bagi melengkapkan belia kita menjadi usahawan-usahawan yang cemerlang dan berjaya.

Keempat, kerajaan masih mampu memeduli komitmen sosialnya dalam membantu dan menghulur bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan, walaupun menghadapi masalah ekonomi namun pihak kerajaan khususnya Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Ugama Islam Brunei dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus memberikan pertimbangan kepada pemohon-pemohon yang benar-benar susah dan memerlukan bantuan.

Yang Berhormat berkata, apa yang diharapkan adalah supaya proses-proses bagi mendapatkan bantuan tersebut hendaklah diharmonisasikan dan dipercepatkan kerana keperluan hidup seseorang insan yang susah itu sangat memerlukan bantuan segera.

Mindset insan yang memerlukan bantuan itu juga harus cuba berdikari berusaha kecil-kecilan untuk mendapatkan pendapatan dan janganlah bergantung sangat kepada bantuan orang lain.

Perkara kelima adalah keselamatan negara, yang menurutnya merupakan tanggungjawab semua, katanya, pihak Polis Diraja Brunei telah mengaktifkan semula pengawasan kejiranan yang melibatkan majlis perundingan mukim dan kampung di seluruh negara.

Menurut Yang Berhormat lagi, setakat ini respons sungguh menggalakkan dan menyokong cadangan polis untuk mempertimbangkan keahlian pengawasan kejiranan dengan turut melibatkan pihak yang berkepentingan di kawasan masing-masing.

Dalam sama-sama menjaga keselamatan negara, beliau juga berharap agar pihak-pihak berkenaan akan dapat membuat pemantauan perkembangannya di samping memohon dan menilai akan kepentingan-kepentingan dan kesejahteraan para pengawasan kejiranan itu sendiri supaya ia akan bertahan lama dan jangan sampai terhenti.

Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin selaku wakil Daerah Belait Zon 2, menyentuh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bermulanya Persidangan Majlis Mesyuarat Negara 2016 yang antara lain menekankan supaya jangan hanya membincangkan dan membahaskan isu tanpa adanya susulan perlaksanaan, tetapi perlu melihat apa yang sudah dicapai.

Yang Berhormat menekankan bahawa, titah tersebut telah dibincangkan dengan panjang lebar secara teliti serta berhati-hati oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara semua untuk diterjemahkan dalam satu kesimpulan yang amat berharga dan untuk direalisasikan.

ARTIKEL YANG SAMA