Lima syarikat bas Kuching akan bentuk konsortium

Lima syarikat bas Kuching akan bentuk konsortium

KUCHING, 27 Mei (Bernama) – Lima syarikat bas di sini telah bersetuju untuk membentuk satu konsortium bagi menyediakan perkhidmatan di dalam bandar dan di luar bandar.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak, Datuk Sri Micheal Manyin, berkata mereka sekarang ini menunggu untuk menandatangani satu dokumen perjanjian yang telah dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk pengesahan.

Beliau ketika bercakap pada sidang media hari ini, berkata, syarikat-syarikat yang terlibat telah menempah sebanyak 140 bas baru untuk 26 laluan, termasuk 14 di sepanjang jalan utama negeri dan 12 jalan penghantar meliputi 512.6 kilometer.

“Untuk bandar Kuching sahaja, ini bermakna peningkatan liputan sebanyak 68 peratus. Bas-bas baharu ini akan mesra orang kurang upaya,” kata Manyin.

Syarikat-syarikat bas terbabit adalah Bau Transport Sdn Bhd, Biaramas Express Sdn Bhd, City Public Link Service Sdn Bhd, Petrajaya Transport (Sarawak) Sdn Bhd dan Sarawak Transport Company Sdn Bhd.

“Konsortium ini akan beroperasi di bawah jenama ‘My Bas’. Dijangkakan dalam masa lima tahun lagi, jumlah penumpangnya akan meningkat di antara 50,000 hingga 75,000 orang.

“Jika ini boleh dicapai, ia bermakna kira-kira 15 peratus daripada 500,000 populasi bandar mendapat manfaat,” katanya.

Bas-bas itu akan dipasang dengan GPS dan sistem tiket elektronik untuk memantau kekerapan dan ketepatan masa mereka.