Lima warga China ditahan reman

Lima warga China ditahan reman

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Julai – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan lima orang lelaki warga China yang berdepan dakwaan memiliki kad ATM palsu ditahan reman selama dua minggu lagi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali memohon supaya Zhong Xiaohui, 41, Xie Lirong, 37, Lai Haiyang, 51, Zhong Xiuying, 34 dan Zhong Jianyuan, 46, terus ditahan reman kerana pihak polis masih memerlukan keterangan daripada mereka.

Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa kad ATM yang dirampas daripada tertuduh telah pun dihantar ke bank untuk mendapatkan rekod transaksi manakala komputer riba dan telefon bimbit dihantar ke unit forensik teknologi maklumat untuk ujian DNA cap jari.

Kelima-lima tertuduh didakwa memiliki kad ATM palsu yang mempunyai label ‘VIP’ antara 21 hingga 25 Jun 2016, dan diberkas di Ruang Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebaik pihak bank membuat laporan polis mengenai adanya penggunaan kad ATM palsu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 474 yang memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun, dan juga denda.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin menetapkan 18 Julai untuk kes disebut semula.

ARTIKEL YANG SAMA