Limbang turut terasa gegaran

Limbang turut terasa gegaran

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 21 Dis – Beberapa kawasan di daerah ini turut merasai gegaran akibat gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter yang melanda Kalimantan, Indonesia pada 2:47 pagi semalam.

Antara kawasan yang merasai gegaran itu termasuk kampung Gadong, Lupak Rangas, Seberang Kedai, Taman Perumahan di Jalan Kubong dan beberapa kawasan lain disini.

Seorang penduduk dari Kampung Lupak Rangas, Brahim Tapa, 44, berkata gegaran itu dirasai sekitar jam 3 pagi semalam.

“Semasa kejadian, saya bangun awal bersama anak perempuan saya yang hendak pergi ke Miri. Kami dikejutkan dengan gegaran yang dirasai sekitar beberapa saat menyebabkan kami sedikit pening dan lampu rumah juga bergoyang,” katanya di sini semalam.

Brahim yang juga peniaga ikan menjelaskan ramai penduduk khususnya di Kampung Seberang Kedai merasai gegaran sama awal pagi semalam. Namun gegaran yang berlaku amat pantas itu tidak menyebabkan kerosakan.

Bagi penduduk di Kampung Seberang Kedai, Suhaili Mat Jais pula menyedari gegaran sama pada jam 2:50 pagi semalam.

“Gegaran yang berlaku dalam dua saat itu menyebabkan air dalam akuarium ikan saya bergoyang. Bagaimanapun tiada kerosakan berlaku,” tambahnya lagi.

Seorang penduduk dari Taman Perumahan Jalan Kubong, Kong, 56, memberitahu gegaran dirasai jam 3 pagi semalam ketika beliau sedang nyenyak tidur bersama isterinya.

“Saya dikejutkan dengan sedikit gegaran menyebabkan saya terbangun dan segera memaklumkan kepada isteri dan jiran.

“Jiran turut merasai gegaran sama yang berlaku beberapa saat,” katanya sambil menambah ia merupakan gegaran kedua yang dirasai sejak 2013.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata tiada laporan diterimanya berhubung gegaran tersebut.

Ketua Bomba Zon Limbang Bonny Martin Saging Mato pula memberitahu belum ada laporan dan aduan diterima pihaknya berhubung gegaran sama.