Limbungan Brooke dibangun sebagai pusat kraf tangan

Limbungan Brooke dibangun sebagai pusat kraf tangan

KUCHING, 24 April – Limbungan Brooke yang terletak di tebing  Sungai Sarawak di sini, akan dibangunkan sebagai pusat kraf tangan bagi dijadikan tarikan terbaru di bandar raya ini.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata limbungan bersejarah yang wujud sejak 1912 dan dijadikan tapak warisan itu, perlu dibangunkan untuk tujuan lain kerana tiada lagi aktiviti membaiki kapal setelah operasi di situ dipindahkan ke Sejingkat.

“Apabila kita umumkan sebagai tapak warisan, kita tidak boleh ubah reka bentuknya. Kita hanya boleh memulihara untuk dibaiki.

“Cadangannya adalah untuk dijadikan pasar kraf tangan dan budaya macam Pasar Seni di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Rioh Nar Juak Ehh’ (Riuh Betullah) di Kampung Bintangor Kecil di sini hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan (sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 11 April) bagi tujuan tersebut dan projek itu hanya menunggu masa yang sesuai untuk dilaksanakan.

Limbungan Brooke wujud sejak 1912 dan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk kapal-kapal di Sungai Sarawak.

Limbungan itu merupakan antara peninggalan sejarah Brooke, keluarga Inggeris yang pernah mentadbir Sarawak antara 1841-1941 dan 1945-1946. – Bernama