Lin Dan tidak kisah

Lin Dan tidak kisah

JAKARTA, 11 Ogos – Bintang sensasi China, Lin Dan tidak memikirkan mengenai peluangnya untuk menjadi pemain terbanyak merangkul gelaran juara dunia pada penampilannya di sini kali ini.

Sebaliknya, juara dunia lima kali itu hanya mahu terus fokus terhadap aksinya dan melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Lin Dan, 32, berpeluang untuk menjadi pemain terbanyak merekodkan kejuaraan jika dia berjaya muncul juara buat kali keenam di sini.

Setakat ini, dia sudah meraih lima gelaran juara dunia iaitu pada 2006 di Madrid, 2007 di Kuala Lumpur, 2009 di Hyderabad, 2011 di London dan 2013 di Guangzhou. Dia berkongsi kedudukan dengan legenda badminton Korea Selatan, Park Joo Bong yang turut merekodkan lima kejuaraan. Joo Bong meraih dua gelaran juara dunia dalam acara beregu lelaki manakala tiga lagi menerusi beregu campuran.

Namun, untuk acara perseorangan lelaki, Lin Dan kekal mendominasi mengatasi legenda badminton China, Yang Yang yang merekodkan dua kejuaraan – 1987 dan 1989.

“Saya tidak fikir sejauh itu lagi, saya sekadar mahu menikmati setiap perlawanan saya di sini. “Saya juga tidak mempunyai sasaran khusus di kejohanan ini, hanya mahu melakukan yang terbaik,” katanya.

Lin Dan mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Sattawat Pongnarat 21-8, 21-11 di Stadium Tertutup Istora Senayan, sebentar lagi.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga selepas menewaskan Lee Chun Hei-Chau Hoi Wah dari Hong Kong 17-21, 21-17, 21-18 dalam aksi pusingan kedua.

Di pusingan ketiga, mereka dijangka menentang bekas juara dunia 2013, Tontowo Ahmad-Liliyana Natsir. Pasangan Indonesia itu menewaskan Rodion Kargaev-Ekaterina Bolotova. – BH

ARTIKEL YANG SAMA