Lindungi badak sumbu dengan kemahiran tentera

Lindungi badak sumbu dengan kemahiran tentera

TSHIPISE – Dalam kehidupan lain, Lynn merupakan seorang penembak hendap di Afghanistan, Damien melatih pasukan separa tentera di Iraq, dan John pula bekerja sebagai pengintip bagi menyusup masuk ke kartel-kartel dadah di Amerika tengah.

Kini ketiga-tiga mereka kembali beraksi, pertempuran kali ini dianggap sebagai ‘peperangan’ ke atas para pemburu haram di Afrika Selatan apabila pembunuhan badak-badak sumbu bertukar menjadi krisis yang mengancam kehidupan spesies itu.

Dalam tahun 2008, kurang daripada 100 ekor badak sumbu telah dibunuh di Afrika Selatan, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini jumlah itu telah meningkat dengan mendadak hingga mencapai hampir 1,200 ekor pada tahun 2015 sahaja.

Berdepan dengan statistik yang ngeri itu, pihak berkuasa kerajaan dan pemuliharaan terdesak untuk mencari jalan untuk melindungi haiwan itu.

Banyak idea telah dicuba, termasuk penggunaan dron, anjing pengesan, imej satelit, analisis DNA, kamera tersembunyi dan malah memotong tanduk badak sumbu sebelum pemburu haram mendapatkannya.

Tetapi pembunuhan badak sumbu masih berterusan, dan kini veteran-veteran tentera dari Amerika Syarikat, Australia dan di tempat lain telah dipanggil untuk menggunakan kepakaran mereka bagi menyelamatkan badak sumbu.

“Anda mempunyai haiwan-haiwan yang disasarkan oleh mereka yang menggunakan senjata automatik,” kata Damien Mander, bekas pegawai pasukan khas tentera Laut Australia.

“Anda tidak dapat pergi kepada masyarakat dan meminta mereka untuk berhenti secara lembut. Ini adalah peperangan.”

Para peserta juga diajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan juruterbang helikopter. – AFP
Para peserta juga diajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan juruterbang helikopter. – AFP
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini jumlah badak sumbu yang dibunuh meningkat dengan mendadak hingga mencapai hampir 1,200 ekor pada tahun 2015 sahaja. – AFP
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini jumlah badak sumbu yang dibunuh meningkat dengan mendadak hingga mencapai hampir 1,200 ekor pada tahun 2015 sahaja. – AFP
Kelihatan dua orang veteran tentera memberikan tunjuk ajar kepada peserta kursus latihan anti-pemburuan tersebut. – AFP
Kelihatan dua orang veteran tentera memberikan tunjuk ajar kepada peserta kursus latihan anti-pemburuan tersebut. – AFP

Pengajaran daripada barisan depan

Mander, yang menghabiskan tiga tahun berkhidmat di Iraq, merupakan pengasas bagi Yayasan Anti-Pemburuan Haram Antarabangsa, yang membantu renjer-renjer anti-pemburuan haram melalui latihan dan mempromosikan ‘tindakan langsung’ untuk melindungi badak sumbu.

“Satu-satunya cara untuk memberikan masa untuk inisiatif pemuliharaan adalah renjer-renjer terlatih dan lengkap bersenjata, yang berani pergi setiap hari dan mempertaruhkan nyawa mereka,” katanya.

“Saya telah diprogramkan untuk memusnahkan. Sekarang saya diprogramkan untuk melindungi.”

Memakai jaket tentera, Lynn Wastover menggunakan latar belakang tenteranya dengan sebaiknya dengan menjalankan kursus latihan selama dua hari di hutan simpan yang terletak di utara Wilayah Limpopo.

Dihadiri oleh sedozen renjer dan pemilik ladang ternak setempat, kursus itu, yang dipenuhi dengan jargon tentera, menawarkan pembelajaran yang meluas dari bagaimana melucutkan senjata musuh hingga menganalisi jejak kaki dan malah berkomunikasi dengan juruterbang-juruterbang helikopter.

Lynn, 35, berkata bahawa kerjaya tenteranya, yang membawa beliau dari Afghanistan dan Iraq hingga Asia Tenggara, Amerika Latin dan Nigeria, telah banyak memberikan beliau pengalaman bernilai untuk disampaikan.

“Saya masih melakukan kerja yang sama, tetapi saya berubah kepada diri saya yang boleh memberikan impak yang jauh lebih baik,” kata Lynn, warga Amrika yang berasal dari Seattle.

“Ia merupakan satu penukaran hala tujuan kerana anda rasakan adanya satu kesatuan dan kebanggaan. Saya merasakan bahawa diri saya sedang memberikan renjer-renjer ini satu peluang yang lebih tinggi untuk terus hidup.”

Beliau bekerja bagi Vetpaw (Perkasa Veteran bagi Melindungi Hidupan Liar Afrika), sebuah kumpulan yang berpangkalan di New York, membantu bekas anggota tentera untuk memperkembangkan kerjaya baru dengan menggunakan kemahiran ketenteraan mereka.

Seorang lagi veteran yang mendapati tujuan barunya di semak Afrika Selatan ialah John, bersetuju bahawa bekas-bekas anggota tentera membawa kemahiran-kemahiran yang unik bagi masalah-masalah pemburuan haram.

“Tingkah laku seorang pemburu haram, pengedar dadah atau pengganas adalah sama,” katanya.

Kesan peperangan

Tetapi apa yang dipanggil ‘green militasrisation’ bagi kerja anti-pemburuan haram itu telah menimbulkan kritikan kuat, dengan sesetengah pihak berkata penduduk setempat yang disuspek sebagai pemburu-pemburu haram telah dibunuh sesuka hati.

Tidak ada perangkaan tersedia, tetapi sebahagian mereka yang terbunuh berasal dari Mozambique, yang bersempadan dengan Taman Negara Kruger, Afrika Selatan.

“Ia memulaukan penduduk setempat dan mengubah kawasan-kawasan pemuliharaan menjadi kubu-kubu,” kata seorang professor di Universiti York, Kanada, Libby Lunstrum, yang pakar dalam pemburuan haram.

Tanpa memberikan sebarang jumlah, beliau memberitahu bahawa ramai lelaki muda telah ditembak dan dikebumikan di kawasan sempadan.

“Ia merupakan satu impak yang teruk terhadap masyarakat yang tidak begitu menyokong pemuliharaan kerana mereka melihat renjer-renjer taman sebagai orang yang membunuh insan kesayangan mereka.”

Api dengan api

“Ia bukan sesuatu yang ganjil untuk melihat haiwan-haiwan dibunuh oleh senjata automatik,” kata pengarah Tabung Antarabangsa bagi Kebajikan Haiwan (IFAW), Celine Sissler-Bienvenu.

“Semasa kita di dalam konteks peperangan, kita tidak mempunyai pilihan lain selain memberikan respons dengan cara yang sama.”

Bagi seorang pemilik ladang seperti Howard Knott, yang menghadiri kursus latihan tersebut, apa sahaja jenis bantuan diterima kerana permintaan bagi tanduk badak sumbu semakin meningkat di China dan Vietnam.

Knott telah kehilangan empat ekor badak sumbu dalam dua tahun kebelakangan ini, sementara seorang jiran telah kehilangan empat ekor hanya dalam masa seminggu pada bulan Oktober.

“Kami sangat menghargai atas apa yang mereka lakukan dan mengajar orang-orang kami,” katanya. – AFP