Lindungi diri daripada Zika

Lindungi diri daripada Zika

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Kes jangkitan virus Zika di negara jiran, Malaysia semakin meningkat dan terbaru, menurut laporan agensi berita Bernama, seorang wanita hamil dua bulan di Miri dan kakaknya yang tinggal di Setapak, Kuala Lumpur yang datang melawat adiknya, menunjukkan tanda-tanda jangkitan virus itu dan dimasukkan ke hospital.

Di Brunei Darussalam, walaupun tiada laporan kes jangkitan virus Zika, orang ramai bagaimanapun diminta memainkan peranan untuk mencegah dan mengawal penyakit bawaan nyamuk ini, termasuklah mereka yang merancang untuk membuat perjalanan ke luar negara pada musim cuti persekolahan ini.

Kementerian Kesihatan dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan di sini hari ini, menyatakan orang ramai dan keluarga mengambil peluang musim cuti persekolahan ini untuk membuat perjalanan ke luar negara bersama anak-anak, keluarga dan rakan-rakan. Walau bagaimanapun, segelintir orang mungkin bimbang mengenai situasi virus Zika yang menjejaskan beberapa buah negara dan mungkin mempertimbangkan semula rancangan perjalanan mereka.

Namun bagi yang sudah pun merancang percutian ke luar negara, sebelum meninggalkan negara ini, mereka dinasihatkan untuk meluangkan masa memastikan rumah-rumah mereka bersih dan bebas dari tapak pembiakan nyamuk jika mereka bercuti dalam tempoh yang lama.

Kebersihan alam sekitar merupakan kunci pencegahan tapak pembiakan nyamuk dengan mengosongkan, membersihkan atau menutup kontena yang boleh menakung air meskipun dalam jumlah sedikit, seperti kontena plastik, baldi, pasu bunga dan tayar.

Menurut kenyataan itu lagi, sebuah rumah yang bersih bebas dari tapak pembiakan nyamuk merupakan satu aspek yang boleh membebaskan kita daripada Zika. Manakala ibu-ibu mengandung dinasihatkan untuk membatalkan sebarang perjalanan tidak penting ke negara terjejas Zika.

Manakala orang ramai yang sudah pun membuat perjalanan, dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah perlindungan peribadi bagi mencegah gigitan nyamuk semasa perjalanan anda. Ini termasuklah memakai baju lengan panjang longgar dan berwarna cerah yang menutupi kulit, menggunakan racun penghalau nyamuk, tidur dalam kelambu atau dalam bilik dengan alat penyaman udara.

Jika anda atau keluarga anda tidak sihat khususnya selepas kembali daripada perjalanan luar negara, segera dapatkan rawatan perubatan. Ia juga amat penting untuk anda terus mengelak gigitan nyamuk sebelum dan selepas perjalanan bagi mengelak virus Zika merebak. Jika pasangan anda mengandung dan anda baru sahaja membuat perjalanan ke negara terjejas Zika, elakkan daripada melakukan hubungan kelamin atau mengambil pendekatan hubungan kelamin lebih selamat dalam tempoh pasangan anda mengandung.

Buat masa ini, belum ada rawatan atau vaksin bagi jangkitan virus Zika dan langkah-langkah pencegahan adalah cara terbaik untuk melindungi diri anda dan keluarga, lebih-lebih lagi bagi ibu-ibu mengandung atau pasangan yang merancang untuk mempunyai anak memandangkan virus itu boleh menjejaskan anak yang belum lahir.

Bagi maklumat lanjut mengenai virus Zika, bolehlah melayari laman web Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

ARTIKEL YANG SAMA