Lindungi keselamatan wartawan

Lindungi keselamatan wartawan

MEXICO CITY, 31 Ogos (AFP) – Pihak berkuasa Mexico hari ini menahan bekas anggota polis dalam hubungan dengan pembunuhan kejam seorang wartawan foto dan empat orang lagi dalam satu kes yang memercikkan kemarahan antarabangsa.

Pihak polis menahan seorang lelaki yang dikenali sebagai “Abraham Torres Tranquilino” atas tuduhan penglibatan dalam pembunuhan Ruben Espinosa, aktivis hak asasi Nadia Veradan tiga lagi mangsa wanita, pendakwa Mexico City Rodolfo Rios berkata dalam satu keterangan.

Espinosa dan mangsa-mangsa lainnya dijumpai mati pada 31 Julai tahun ini di sebuah apartmen di Mexico City, tangan mereka diikat dan mayat mereka mempunyai kesan-kesan penderaan.

Torres, 24, bekerja sebagai seorang anggota polis di ibu negara sehingga 2011, apabila dia ditahan dan disabitkan atas kesalahan dera dalam kes berbeza. Dia menghabiskan masa selama setahun dalam penjara.

Pihak berkuasa pada 4 Ogos menahan Daniel Pacheco Gutierrez, juga bekas pesalah, dalam kes terbaru itu.

Namun, dia mengaku tidak bersalah tetapi mengakui berada di dalam apartmen di mana pembunuhan itu terjadi, bersama dengan dua rakan lainnya, pada hari pembunuhan itu.

Pihak pendakwa beberapa minggu lalu mengeluarkan rakaman keselamatan yang memaparkan Pacheco dan Torres meninggalkan bangunan tersebut pada hari pembunuhan itu bersama seorang lelaki lain.

Kematian Espinosa merupakan siri pembunuhan wartawan terbaru yang mendorong ratusan kumpulan intelektual dari Mexico dan seluruh dunia untuk menggesa Presiden Mexico Enrique Pena Nieto untuk lebih melindungi pihak wartawan.

Kumpulan tersebut termasuk Salman Rushdie dari Britain, Paul Auster Amerika dan Margaret Atwood dari Kanada.