Lindungi spesies terancam

Lindungi spesies terancam

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 3 Sept – Hidupan liar terutamanya spesies terancam di negara ini seharusnya dijaga dan dilindungi sebaik-baik mungkin bagi mengelakkan ia dijadikan haiwan peliharaan sehingga menjejaskan kesihatannya atau dibunuh untuk bahan ubat dan makanan eksotik serta pupus akhirnya.

Pembantu Kanan Perikanan Awang Hariel bin Simpol dari Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, menekankan spesies terancam ini termasuklah Penyu Lipas yang kebanyakannya mudah dijumpai di perairan negara ini dan juga beberapa buah negara ASEAN, namun menjadi sasaran pemburu-pemburu haram.

“Penyu Lipas unik kerana ia merupakan spesies penyu terkecil dalam tujuh spesies penyu di dunia ini dan dilindungi di bawah CITES (Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam), maka menjadi tanggungjawab kita dan negara-negara pesisir pantai ASEAN untuk memastikan ia dilindungi daripada sebarang bahaya,” katanya ketika ditemu bual wartawan Media Permata di Jerayawara Hidupan Liar anjuran BMC dengan kerjasama Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama di Maktab Anthony Abel, Seria hari ini.

Pengunjung melihat Penyu Lipas di jerayawara itu.
Pengunjung melihat Penyu Lipas di jerayawara itu.

Untuk itu, semenjak tahun 2000 lagi, Bahagian Hidupan Liar telah menjalankan kerja-kerja pemuliharaan dan sejumlah 6,000 ekor anak-anak penyu termasuk anak Penyu Lipas dilepaskan ke laut, tambahnya.

“Dalam jerayawara ini, kami mendatangkan seekor daripada tujuh ekor Penyu Lipas di bawah jagaan kami untuk mendedahkannya kepada pelajar terutamanya fakta kandungan beratnya yang boleh mencecah 50kg, asal usul namanya dan cara kehidupan serta corak perjalananny. Jabatan turut memberi perhatian kepada spesies terancam lain agar kajian berterusan dapat dilakukan,” kata Awang Hariel.

ARTIKEL YANG SAMA