Line akan senaraikan saham

Line akan senaraikan saham

TOKYO, 10 Jun – Aplikasi mesej Line akan menyenarai sahamnya di Tokyo dan New York, menurut laporan hari ini, dalam apa yang mungkin merupakan salah satu tawaran awam terbesar tahun ini.

Media Jepun termasuk akhbar perniagaan Nikkei dan agensi berita Kyodo, berkata firma yang berpangkalan di Tokyo itu dijangka menerima kelulusan daripada pe-ngawal hari ini untuk disenaraikan seawalnya bulan depan.

Laporan Jepun berkata Line, yang dimiliki oleh pembekal Internet Korea Selatan Naver, merancang mengumpul kira-kira 100 bilion yen dalam jualan yang akan menilai syarikat pada kira-kira 600 bilion yen.

Bloomberg News memetik sumber tanpa nama sebagai berkata jualan mungkin mengumpul di antara AS$1 bilion dan AS$2 bilion, dalam apa yang dikatakannya mungkin merupakan IPO teknologi terbesar di dunia tahun ini.

pg19_160611_Line-logo

Kedua-dua Line dan Bursa Saham Tokyo enggan mengesahkan laporan tersebut, tetapi satu sumber yang rapat dengan situasi itu memberitahu AFP bahawa satu perjanjian mungkin diumumkan lewat hari ini.

Line telahpun mengesahkan ia telah menyerahkan dokumen yang disenaraikan kepada pengawal pasaran Jepun dan AS.

Laporan jualan itu keluar dua tahun selepas Line mengumumkan rancangan untuk menyenaraikan sahamnya, bagaimanapun penjualan itu ditangguhkan selepas itu.

Tawaran adalah yang terbesar di Tokyo sejak Japan Post mencatatkan kemunculan buat pertama kalinya pada November dengan IPO yang mencecah AS$11.5 bilion.

Aplikasi popular itu membenarkan pengguna membuat panggilan percuma, menghantar mesej segera dan menyiarkan gambar atau video pendek bersama pelbagai perkhidmatan berbayar lain. Ia menggabungkan ciri-ciri daripada Facebook, Skype dan WhatsApp. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA