Lions XII juara Piala FA 2015

Lions XII juara Piala FA 2015

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) – Pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII melakar sejarah menjadi pasukan luar pertama muncul juara Piala FA sejak pertandingan berkenaan diperkenalkan pada 1990.

Skuad muda negara republik itu mencipta kejutan dengan mengalahkan juara dua kali, Kelantan yang diperkuatkan dengan empat pemain import, menerusi kemenangan 3-1 pada aksi penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu.

Kehadiran hampir 90,000 penyokong terutamanya penyokong Kelantan nyata menggamatkan stadium sebaik sahaja pengadil, Muhammad Zamzaidi Katimin memulakan perlawanan.

Lions XII mengejutkan Kelantan, yang muncul juara pada 2012 dan 2013, apabila pemain sayap, Muhammad Faris Ramli menjaringkan gol pembukaan seawal minit keenam selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan.

Tersentak dengan gol tersebut, Kelantan kembali memperkemaskan permainan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor, selang lima minit kemudian namun sepakannya berjaya ditepis keluar penjaga gol Lions XII, Muhammad Izwan Mahbud.

Jurulatih Lions XII Fandi Ahmad (kiri) dan Nasri Nasir menjulang Piala FA yang dimenangi selepas pasukannya menewaskan Kelantan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. – Bernama
Jurulatih Lions XII Fandi Ahmad (kiri) dan Nasri Nasir menjulang Piala FA yang dimenangi selepas pasukannya menewaskan Kelantan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. – Bernama

Skuad ‘The Red Warriors’ yang membuat penampilan pentas final kali kelima, terus menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan namun ketangkasan Muhammad Izwan, yang juga penjaga gol kebangsaan Singapura, selain ketumpulan jentera serangan Kelantan menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga berakhirnya separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan kembali mengasak kubu Lions XII dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Wan Zack Haikal menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-62 selepas beliau bijak memanfaatkan hantaran rakan sepasukan, sekali gus menceriakan puluhan ribu penyokong Kelantan. Kelekaan barisan pertahanan Kelantan membawa padah apabila pemain gantian Lions XII, Mohd Sahil Suhaimi menggandakan jaringan untuk pasukan dari Singapura itu pada minit ke-81.

Kesilapan pemain pertahanan Kelantan, Amirizdwan Taj Tajuddin, yang menjatuhkan Mohd Sahil di dalam kotak penalti pada masa kecederaan, membawa padah apabila Lions XII dihadiahkan sepakan penalti oleh Muhammad Zamzaidi.

Mohd Sahil, yang juga pemain kebangsaan Singapura, tenang menyempurnakan sepakan penalti berkenaan bagi membawa pulang trofi kejuaraan menyeberangi Selat Tebrau.