Lions XII: Selamat tinggal Liga-M

Lions XII: Selamat tinggal Liga-M

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) – Liga Malaysia 2015 (Liga-M) merupakan penampilan terakhir wakil Singapura, Lions XII dalam kancah bola sepak tempatan setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak memperbaharui Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 2011.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, keputusan berkenaan diputuskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM setelah mengambil kira beberapa faktor seperti kos terlibat bagi pasukan tempatan untuk berkunjung ke negara Seberang Tambak itu.

“Setelah membuat pertimbangan secara mendalam, MoU kita dengan Singapura (iaitu FAS) tidak kita lanjutkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan oleh Presiden badan induk itu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini, malam tadi.

Afandi berkata, tempat Lions XII dalam saingan Liga Super 2016 bakal digantikan pemenang perlawanan kalah mati di antara pasukan tangga ke-11 Liga Super 2015, Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan tangga ketiga Liga Perdana iaitu T-Team yang bakal ditetapkan dalam tempoh terdekat.

Beliau menjelaskan pasukan Kuala Lumpur yang tersingkir ke saingan Liga FAM 2016 selepas menduduki tangga ke-11 daripada 12 pasukan Liga Perdana musim ini akan kekal beraksi musim depan bagi melengkapkan kuota 12 pasukan bertanding.

ARTIKEL YANG SAMA