‘Lipan Bara’ antara tarikan perarakan Hari Kebangsaan

‘Lipan Bara’ antara tarikan perarakan Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – ‘Lipan Bara’ aset terbaharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menarik perhatian ramai pada acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan ke-59 di Dataran Merdeka di sini.

Ia yang merupakan kereta perisai bermobiliti tinggi (HMAV) 4×4 diperlihatkan kepada umum buat julung kali setelah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pameran Servis Pertahanan Asia 2016 pada April lepas.

Pegawai Staf I, Cawangan Bantuan Tempur Markas Medan Barat Tentera Darat, Lt Kol Mohd Faiz Ahmad menyifatkan Lipan Bara mempunyai pelbagai keistimewaan.

“Ia dilengkapi senjata M134D-H Gattling Gun 7.62mm, pelancar grenad 76mm, alat amaran laser, kemampuan mengangkut sehingga dua tan serta memiliki tahap perlindungan dan kekebalan tinggi,” katanya kepada Bernama.

Kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melintasi pentas kehormat di segmen Kenegaraan pada Sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ di Dataran Merdeka kelmarin. – Bernama
Kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melintasi pentas kehormat di segmen Kenegaraan pada Sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ di Dataran Merdeka kelmarin. – Bernama

Pertunjukan udara yang melibatkan 12 pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut meningkatkan adrenalina pengunjung dengan pelbagai formasi menarik.

Masing-masing disertai empat pesawat Sukhoi, pesawat FA 18 D-Hornet dan Hawk 108/208.

Sekretariat Perbarisan TUDM, Pegawai Staf II, Istiadat Markas Tentera Udara, Mejar Jamaludin Jumaat berkata penerbangan mereka dikendalikan juruterbang pesawat tempur TUDM yang berpangkalan di Pangkalan Udara Gong Kedak, Butterworth dan Kuantan.

Penerbangan turut melibatkan aset terbaharu TUDM iaitu pesawat pengangkut Airbus A400M selain dua pesawat C130 Hercules dan sembilan unit pesawat latihan PC 7 MK 11. – Bernama