Lipat ganda amal dengan bertadarus Al-Quran

Lipat ganda amal dengan bertadarus Al-Quran

Oleh Hajah Saemah Kepli & Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 3 Julai – Dalam menghayati dan merebut peluang di bulan suci Ramadan yang penuh kerahmatan ini, majlis-majlis tadarus giat dilaksanakan oleh pelbagai pihak bagi melipatgandakan lagi amalan dalam bulan ini.

Antara yang menganjurkan majlis seumpamanya adalah rombongan para pegawai dan kakitangan kerajaan di Daerah Belait yang diadakan di Balai Ibadat Kampung Melilas Ulu Belait, kelmarin. Rombongan tersebut telah diketuai oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Harris bin Othman, yang diiringi sama Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Lumut 1, Yang Berhormat Haji Shafiee bin Ahmad, dan Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Asmiron bin Haji Mohd Taib.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Awang Chuchu.

Antara lain majlis itu diadakan adalah untuk menyemarakkan bulan Ramadan selain mengeratkan lagi silaturahim antara rombongan pegawai-pegawai jabatan kerajaan dengan jemaah balai ibadah itu khususnya dan penduduk di kampung pada amnya.

Sementara itu, rombongan wanita dari Masjid Pandan dan Kampung Mumong turut mengadakan aktiviti bertadarus dari rumah ke rumah bagi tahun ini yang dimulakan dengan kunjungan ke rumah Hajah Masni binti Bongsu di STKRJ Kampung Mumong ‘A’, di sini.

Antara para pegawai jabatan kerajaan yang menyertai majlis tadarus di Balai Ibadat Kampung Melilas Ulu Belait, kelmarin.
Antara para pegawai jabatan kerajaan yang menyertai majlis tadarus di Balai Ibadat Kampung Melilas Ulu Belait, kelmarin.
Kumpulan rombongan Tadarus Al-Quran wanita yang mengadakan majlis tadarus dari rumah ke rumah.
Kumpulan rombongan Tadarus Al-Quran wanita yang mengadakan majlis tadarus dari rumah ke rumah.

Hajah Masnah binti Abdul Rahman yang mengetuai rombongan seramai 21 orang terdiri daripada Kumpulan Tadarus Al-Quran, mengatakan acara sebegini khusus dibuat dalam bulan Ramadan sebagai salah satu aktiviti keagamaan mereka. Pada tahun ini aktiviti bertadarus rumah ke rumah lebih menjurus kepada menjalinkan hubungan baik serta silaturahim di antara kaum dan masyarakat kampung terutamanya di kalangan pesara-pesara wanita, suri rumah dan beliawanis di kampung-kampung berkenaan agar sama-sama menikmati kebesaran dan keberkatan Ramadan.

“Kami sekumpulan selalunya akan pergi dari rumah ke rumah atas jemputan mereka yang ingin mengundang kami bagi acara seumpama ini,” kata Dayang Hajah Masnah. Beliau menambah lagi bahawa, setiap tahun bilangan mereka semakin bertambah daripada jumlah sebelumnya pada tahun 1999 yang hanya seramai lima orang dan perkara ini menunjukkan peningkatan dalam minat para pesara wanita dan suri rumah termasuk beliawanis di kampung berkenaan.

Bagi yang ingin mengundang kumpulan Tadarus Al-Quran wanita bolehlah menghubungi Hajah Masnah di talian 8733676 atau 8865286.

ARTIKEL YANG SAMA