Lisa Surihani hamil anak kedua

Lisa Surihani hamil anak kedua

KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti, Yusry Abdul Halim, 43, dan Lisa Surihani, 30, bakal menyambut kelahiran anak kedua, tahun depan.

Perkara itu didedahkan anggota KRU yang juga seorang pelakon dan pengarah itu di laman sosial Instagramnya, sebentar tadi.

Menerusi laman bergambar itu, pengarah Cicakman berkenaan memberitahu, anak sulung mereka, Yahaira Leanne, akan menjadi kakak pada 2017.

Beliau turut memuat naik gambar isterinya, yang juga seorang pelakon, mendukung cahaya mata kesayangan mereka dengan kata-kata betapa bertuah dirinya saat ini.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dapat bersama dua insan ini. Insya-Allah tahun depan keluarga kita akan bertambah seorang lagi. Saya pasti kamu (merujuk kepada Lisa) juga begitu teruja dengan berita ini seperti mana diri ini. Saya bersyukur akan melalui fasa sama sebelum ini di mana kamu sudah memasuki kandungan trimester kedua,” tulis Yusry.

Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani bakal menyambut kelahiran anak kedua, tahun depan.
Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani bakal menyambut kelahiran anak kedua, tahun depan.

Selain mengharapkan kesejahteraan Lisa, beliau turut mendoakan supaya Yahaira akan menerima baik kehadiran adiknya nanti.

“Yahaira sayang, semoga kamu dapat menjadi kakak yang baik,” tulisnya. Lisa yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp juga amat bersyukur dengan berita menggembirakan itu.

“Kami memang tidak menjangkakan (berita gembira) ini. Alhamdulillah,” kata Lisa ringkas.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012 di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya. Pada Oktober 2015, mereka dikurniakan anak pertama.