Litar Formula 1 Sepang menjadi lebih mencabar

Litar Formula 1 Sepang menjadi lebih mencabar

SEPANG, 26 Sept – Pusingan ke-16 Grand Prix Formula 1 (F1) di Litar Sepang sepanjang 5.54km yang telah dibaik pulih, pada hujung minggu ini dijangka lebih mencabar dan menarik berbanding edisi sebelumnya.

Litar Sepang, yang sentiasa mencatat keputusan tidak diduga sebelum ini, akan memberi cabaran baharu kepada pasukan-pasukan dan pembuat tayar dari Itali, Pirelli kerana mereka tidak mempunyai data perlumbaan berbanding ketika perlumbaan F1 pertama kali diadakan di situ, selepas kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf trek bernilai RM15 juta dari Februari hingga Mac tahun ini, itu selesai.

Pemandu Mercedes – Nico Rosberg (273 mata) dan Lewis Hamilton (265 mata) kini menguasai dua kedudukan teratas selepas 15 perlumbaan F1, dan keputusan di Litar Sepang melibatkan keseluruhan 310.408km adalah penting untuk menentukan juara dunia dengan berbaki lima lagi perlumbaan musim ini.

Grand Prix F1 2016 melibatkan 21 perlumbaan.

Litar Formula 1 Sepang yang kini diselenggarakan. – Bernama
Litar Formula 1 Sepang yang kini diselenggarakan. – Bernama

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Razlan Razali berkata walaupun kesemua pasukan dan Pirelli telah dimaklumkan dua bulan lebih awal mengenai kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf litar itu, tahap sistem tayar tidak dapat diramalkan.

“Tiada siapa tahu tahap optimum tayar baharu itu selepas beberapa pusingan kerana Litar Sepang adalah satu-satunya litar yang dibaik pulih dan dinaik taraf dalam kalender F1 musim ini.

“Komposisi lapisan pada litar itu direka khas untuk tahan kepada iklim dan cuaca di Malaysia, jadi ia berbeza dengan litar lain di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita hari ini, selepas sesi pengenalan kemudahan baharu di Litar Sepang menjelang perlumbaan F1 hujung minggu ini. – Bernama