Litar Sepang akan ditutup

Litar Sepang akan ditutup

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menutup trek perlumbaannya dari 15 Feb hingga 8 Mei tahun depan bagi kerja baik pulih dan naik taraf, kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.

“Tempoh lima tahun lepas telah menyaksikan 98 peratus penggunaan trek sepanjang tempoh itu, daripada acara besar antarabangsa sehinggakan tempahan persendirian.

“Acara-acara berkenaan telah menjadikan litar mendapat pengiktirafan lebih tinggi, dan selaras dengan perkembangan itu, menjadi kewajipan SIC untuk terus menawarkan pengalaman terbaik dan tahap terbaik daripada segi keselamatan bagi semua pengguna litar,” katanya.

Kerja naik taraf itu susulan yang terakhir dilakukan adalah pada 2007.

Beliau berkata kerja baik pulih dan naik taraf itu dijadualkan pada 2016 berdasarkan syarat ditetapkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), untuk memastikan litar terus mematuhi piawaian antarabangsa.

Litar Sepang akan ditutup sementara tahun depan bagi kerja naik taraf dan baik pulih. – Reuters
Litar Sepang akan ditutup sementara tahun depan bagi kerja naik taraf dan baik pulih. – Reuters

Razlan berkata kerja naik taraf itu akan melibatkan keseluruhan 5.54 kilometer litar bertaraf dunia itu, dan ia merupakan syarat wajib bagi memastikan trek Sepang terus disenarai dalam FIA dan FIM, masing-masing sebagai litar Gred Satu dan Gred A.

Kerja baik pulih dan naik taraf itu akan termasuk membaiki dan menaik taraf sistem perparitan; kawasan ‘kerbs and the tarmac run-off’ serta kawasan ‘gravel bed’ di Turn One dan 15, katanya.

“Sepertimana semua kemudahan lain dan khususnya litar, kerja penyenggaraan merupakan keutamaan, dan kerja baik pulih dan naik taraf adalah perlu untuk memastikan litar di Malaysia berada dalam keadaan memuaskan dan berkualiti tinggi,” katanya.