Liverpool batalkan kenaikan harga tiket

Liverpool batalkan kenaikan harga tiket

LIVERPOOL, 11 Feb – Liverpool meminta maaf dan membatalkan rancangan kontroversi untuk menaikkan harga tiket perlawanan di Anfield selepas 10,000 peminat melakukan protes keluar daripada stadium hujung minggu lalu.

Harga baru yang dicadangkan 77 pound disifatkan harga paling mahal untuk aksi di Anfield musim depan dan keputusan ini bermakna harga paling mahal kekal pada 59 pound, manakala paling murah adalah 9 pound.

Harga tiket bermusim pula dikekalkan pada kadar 869 pound dan paling murah adalah 685 pound.

Liverpool mendengarkan jeritan penyokongnya dan menyedari bahawa harga tiket yang dikenakan ke atas penyokong pasukan tersebut terlalu tinggi dan memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan tersebut.

Pada perlawanan lalu ketika pasukan Liverpool menentang Sunderland di Anfield, ribuan penyokong pasukan itu mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat kerusi di stadium tersebut pada minit ke-77 sebagai tanda protes mereka terhadap harga tiket yang dikenakan terlalu tinggi.

Liverpool merancang untuk menaikkan harga tiket dari 59 pound kepada 77 pound. Harga tersebut dilihat terlalu mahal dan para penyokong merasa terbeban untuk membelinya.

“Ia menjadi minggu yang huru-hara. Bagi pihak Fenway Sports Group dan Liverpool FC, kami mahu minta maaf atas kesulitan yang disebabkan pelan harga tiket untuk musim 2016/17,” kata kelab itu menerusi satu surat yang ditandatangani oleh Pemilik Liverpool, John W Henry dan Pengerusi, Tom Werner.

Liverpool kemudian mengumumkan bahawa untuk musim depan, tiket termahal pada perlawanan ‘matchday’ adalah seperti biasa iaitu 59 pound.

“Hubungan baik kami antara Liverpool FC dan para penyokong menjadi kepentingan bagi kami. Hubungan itu merupakan titik semangat yang luar biasa,” menurut pasukan itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA