Liverpool belasah Thai All Stars

Liverpool belasah Thai All Stars

BANGKOK, 15 Julai – Beberapa pemain baharu skuad Liverpool berpeluang beraksi untuk kali pertama di Bangkok dalam hujan lebat ketika pasukan The Reds membelasah Thai All Stars 4-0 dalam perlawanan persahabatan malam tadi.

Pasukan Liga Perdana Inggeris itu memulakan jelajah sebelum musim di ibu negara Thailand itu yang turut membabitkan perlawanan dengan pasukan Malaysia dan Australia.

Adam Bogdan, Joe Gomez dan Danny Ings membuat penampilan sulung pada separuh masa pertama di Stadium Rajamangala.

Liverpool meraih gol pertama ketika perlawanan baru berlangsung tiga minit hasil hantar bijak Joao Carlos Teixeira kepada Lazar Markovic yang mudah menewaskan penjaga gol lawan.

Sejurus sebelum rehat, Liverpool menggandakan kedudukan apabila sepakan sudut Teixeira menemui Mamadou Sakho yang menanduk kencang ke dalam gawang.

Pemain Liverpool Danny Ings menjaringkan gol tetapi kemudian dibatalkan semasa menentang Thai All Stars di Stadium Rajamangala di Bangkok semalam. – Reuters
Pemain Liverpool Danny Ings menjaringkan gol tetapi kemudian dibatalkan semasa menentang Thai All Stars di Stadium Rajamangala di Bangkok semalam. – Reuters

Saingan separuh masa kedua dimulakan dengan seluruh pasukan digantikan oleh pengurus Liverpool, Brendan Rodgers – membolehkan Nathaniel Clyne, James Milner dan Divock Origi beraksi untuk kali pertama dalam hujan lebat.

Liverpool meneruskan serangan tanpa menghiraukan keadaan padang yang becak dan pada minit ke-52, ketua pasukan Jordan Henderson menyungkit bola untuk Adam Lallana merembat masuk gol ketiga.

Origi yang dua percubaannya mengenai tiang gol manakala satu lagi diselamatkan penjaga gol lawan, akhirnya membolosi gawang lawan pada minit ke-86 dengan tandukan cantik hasil hantaran silang Henderson. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA