Liverpool benam Barca

Liverpool benam Barca

LONDON, 7 Ogos – Pemain yang baru ditandatangani, Sadio Mane menjaringkan satu gol dan menghasilkan satu lagi jaringan ketika Liverpool menewaskan Barcelona 4-0 dalam perlawanan persahabatan yang diadakan di Wembley semalam.

Pemain berharga 34 juta paun ($44.5 juta, 40.1 juta euro) dari Southampton itu, Mane, menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 15 dan kemudian memberikan sepakan lintang di mana bekas pemain Liverpool, Javier Mascherano menjaringkan gol sendiri.

Divock Origi menambah gol ketiga beberapa saat kemudian dan pemain gantian Marko Grujic menyudahkan tandukan pada masa penamat ketika pasukan kendalian Jurgen Klopp mencatatkan kemenangan keenam dalam lapan perlawanan pra musim.

‘Saya merasa gembira dengan keputusan itu dan dengan banyak perlawanan,’ kata Klopp, yang kehilangan James Milner kerana kecederaan tumit pada separuh masa pertama.

Liverpool menentang Mainz, salah satu dari bekas kelab kendalian Klopp, dalam perlawanan persahabatan di Jerman pada hari ini, sebelum menentang Arsenal dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana hujung minggu depan.

Aksi Kevin Stewart (kanan) bersama Lionel Messi semasa perlawanan persahabatan Piala Juara–juara Antarabangsa antara Barcelona dan Liverpool di Stadium Wembley di London pada Sabtu lalu. – AFP
Aksi Kevin Stewart (kanan) bersama Lionel Messi semasa perlawanan persahabatan Piala Juara–juara Antarabangsa antara Barcelona dan Liverpool di Stadium Wembley di London pada Sabtu lalu. – AFP

Kekalahan Barcelona bermakna Paris Saint Germain memenangi perlawanan persahabatan Piala Juara–juara Antara-bangsa bagi tahun kedua berturut-turut.

Jurulatih Barcelona, Luis Enrique kehilangan pemain Neymar, yang dalam tugasan bersama pasukan tuan rumah Brazil pada Olimpik, tetapi menurunkan bekas pemain penyerang Liverpool, Luis Suarez dan Lionel Messi, yang hanya berjaya menggegarkan tiang gol pada separuh masa pertama.

Barca menentang Sampdoria di Camp Nou dalam perlawanan persahabatan pra musim pada Rabu dan menghadapi Sevilla pada perlawanan pertama Piala Super Sepanyol pada 14 Ogos.

“Dari awal perlawanan kami melihat pasukan dengan rentak yang berbeza sepenuhnya,’ kata Luis Enrique. ‘Ia adalah bukan hari terbaik kami. Tetapi kami terdapat hari yang mencukupi bagi kami untuk bersedia dan tiada keraguan untuk bersaing.” – AFP