Liverpool benam Leicester 4-1

Liverpool benam Leicester 4-1

LONDON, 11 Sept – Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menggesa penyokong supaya berhenti bersorak namanya selepas kemenangan memberangsangkan 4-1 ke atas juara bertahan Leicester City tatkala penyokong tuan rumah mula memuji pengurus itu menerusi nyanyian pada babak kedua perlawanan.

Pengurus dari Jerman itu menghargai sentimen diberikan namun menggesa penyokong supaya tidak melakukannya sehingga wisel penamat pada masa hadapan dengan mengingatkan mereka betapa perlawanan boleh berubah sekiranya pemain hilang tumpuan.

Selepas Liverpool mendahului 4-1 dalam perlawanan pembukaan menentang Arsenal, penyokong di halaman lawan turut melakukan tindakan sama menyanyi bagi memuji Klopp sebelum tuan rumah bangkit untuk menjadikan keputusan muktamad 4-3.

“Bila saya bercakap mengenai perkara ini, saya perlu mengatakannya (kepada penyokong)… tolong jangan nyanyi nama saya sebelum keputusan perlawanan ditentukan,” kata Klopp.

“Dengan pantas apabila Kop mula menyanyi ‘Juergen Klopp’, (Leicester) bersendirian di hadapan (penjaga gol Liverpool) Simon Mignolet.

Pasukan Liverpool meraikan salah satu jaringan mereka dalam perlawanan tersebut. – AP
Pasukan Liverpool meraikan salah satu jaringan mereka dalam perlawanan tersebut. – AP

“Ia seperti meraikan penalti sebelum kamu menjaringkan gol,” tambahnya. “Saya tidak bermain, tetapi sekiranya mereka menyukai saya, ia sesuatu yang bagus, saya juga meminati mereka tetapi tolong jangan nyanyi nama saya sebelum perlawanan ditentukan.

“Sama juga di Arsenal. Ia kadangkala bergantung antara satu sama lain, ia bagus tetapi tidak terlalu diperlukan. Adalah lebih baik sekiranya mereka dapat menghentikan perkara ini.”

Perlawanan menentang Leicester itu adalah yang pertama di halaman sendiri buat Liverpool musim ini selepas kerja pembangunan semula di bahagian tempat duduk utama di Anfield dan memaksa pasukan bermain di luar pada tiga perlawanan awal mereka.

“Kami perlu mempunyai atmosfera seperti ini, bukan hanya disebabkan lawan kami adalah juara bertahan dan kami menjaringkan empat gol,” kata Klopp selepas pasukannya berganjak ke kedudukan kelima dengan tujuh mata ketika ini. – AFP