Liverpool, Chelsea berkongsi mata

Liverpool, Chelsea berkongsi mata

LIVERPOOL, 12 Mei (AFP) – Gol pada masa kecederaan Christian Benteke menghadiahkan Liverpool satu mata bertemu Chelsea selepas perlawanan di Anfield, awal pagi tadi berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Eden Hazard membuka tirai jaringan pada masa pertama yang tampak seakan memihak pelawat sebelum penyerang Belgium, Benteke menyudahkan dengan baik hantaran Sheyi Ojo pada lewat permainan bagi memastikan rekod tanpa kalah Liverpool di laman sendiri berterusan kepada 13 perlawanan.

Keputusan menyaksikan kedua-dua pasukan masih dibezakan dengan 10 mata sekali pun Liverpool menghuni tangga kelapan liga manakala Chelsea ke-10.

Sekali pun masih berpeluang untuk beraksi di pentas Eropah apabila dijadual beraksi di pentas final Liga Europa, minggu depan, Liverpool berdepan begitu banyak masalah musim ini termasuk penukaran pengurus di pertengahan liga dengan Jurgen Klopp menggantikan Brendan Rodgers pada Oktober.

Perlawanan menentang Chelsea adalah perlawanan terakhir kedudukan tempat duduk penonton di Main Stand di Anfield yang akan menjalani penambahbaikan bagi meningkatkan kapasiti penonton.

Pemain Liverpool, Sturridge dan Willian dari Chelsea bersaing untuk menguasai bola pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield semalam yang berakhir dengan keputusan 1-1. – AP
Pemain Liverpool, Sturridge dan Willian dari Chelsea bersaing untuk menguasai bola pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield semalam yang berakhir dengan keputusan 1-1. – AP

Chelsea pula akan mengharungi perubahan besar-besaran dalam beberapa bulan selepas ini namun lebih kepada barisan pemain.

Kapten kelab itu, John Terry dijangka akan mengucapkan selamat tinggal namun kad merah yang diterimanya ketika menentang Sunderland, minggu lalu bermakna dia terlepas dua perlawanan terakhir kelab itu musim ini.

Keputusan itu jelas merobek emosi peminat di Stamford Bridge yang gagal memberikan penghargaan terakhir terhadap komitmen yang Terry berikan bersama kelab itu sejak lebih sedekad lalu.

Ia turut mencetus protes daripada sebahagian besar penyokong Chelsea yang mahukan pemain berusia 35 tahun itu diberikan kontrak lanjutan setahun.

Selain Terry, Chelsea juga turut ke gelanggang keramat Liverpool itu tanpa khidmat penyerang Diego Costa dalam perlawanan di mana Klopp melakukan persiapan bagi memilih kesebelasan utama menentang Sevilla di final nanti.

ARTIKEL YANG SAMA