Liverpool, Chelsea teruskan kemaraan

Liverpool, Chelsea teruskan kemaraan

LONDON, 24 Ogos – Daniel Sturridge meledak dua gol bagi membantu Liverpool mara ke pusingan ketiga Piala Liga dengan kemenangan 5-0 ke atas Burton Albion manakala Chelsea menewaskan Bristol Rovers 3-2.

Divock Origi, Roberto Firmino dan Sturridge kesemuanya berada dalam senarai penjaring kelab tatkala finalis tahun lalu itu mudah menewaskan Burton, pasukan yang dikendali bekas pemain tengah Liverpool, Nigel Clough.

Michy Batshuayi memberi petanda baik pada penampilan pertamanya bersama Chelsea dengan meledak dua gol ketika berdepan Bristol Rovers manakala Victor Moses meledak satu gol bagi membenarkan pengurus Antonio Moses menikmati kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan kompetitif.

“Ini sesuatu yang sangat serius, satu persembahan profesional daripada barisan kami,” kata pengurus Liverpool,” Jurgen Klopp. “Gol yang cantik – tidak ada yang perlu dikritik. Cuaca agak lembap hari ini – bukan mudah untuk kedua-dua pasukan.

Pemain Everton, Arouna Kone (tiga kiri) meraikan jaringan pada pusingan kedua Piala Liga di Goodison Park, kelmarin. Liverpool dan Everton menikmati kemenangan besar kelmarin sementara Chelsea pula berhempas pulas untuk menundukkan Bristol Rovers. – AP
Pemain Everton, Arouna Kone (tiga kiri) meraikan jaringan pada pusingan kedua Piala Liga di Goodison Park, kelmarin. Liverpool dan Everton menikmati kemenangan besar kelmarin sementara Chelsea pula berhempas pulas untuk menundukkan Bristol Rovers. – AP

“Kami memberi peluang kepada beberapa pemain masa permainan kerana itu adalah sesuatu yang penting bagi mereka. Ada sesetengah antara mereka hanya diturunkan beberapa minit ketika pra musim.”

Pasukan Liga Perdana Inggeris Crystal Palace, Everton, Hull City, Swansea City dan Stoke City juga mara ke pusingan seterusnya tatkala Peter Crouch meledak hatrik buat Stoke meraih kemenangan 4-0 ke atas Stevenage.

Namun, Watford pula menerima nasib sebaliknya apabila tewas 1-2 di halaman sendiri di tangan Gillingham selepas permainan sebenar diheret ke masa tambahan manakala West Bromwich Albion juga kalah 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dengan kelab Liga Satu, Northampton Town.

Klopp memasukkan bek tengah Cameroon, Joel Matip bagi membuat penampilan pertamanya bersama Liverpool dan juga Sadio Mane – pemain sayap Senegal yang baru pulih daripada kecederaan bahu di laman lawan, Stadium Pirelli. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA