Liverpool di bawah Klopp semakin cerah

Liverpool di bawah Klopp semakin cerah

LONDON, 2 Dis (Reuters) – Liverpool bangkit tepat pada masanya dan peluang menjulang sekurang-kurangnya satu piala kelihatan semakin cerah sejak dibimbing oleh pengurus baru Juergen Klopp, ujar pemain tengah James Milner.

Kelab Merseyside itu yang menang semua enam daripada tujuh perlawanan dalam semua pertandingan, akan mengharungi tujuh aksi bulan ini dan ia bermula dengan pertemuan menentang Southampton pada suku akhir Piala Liga, awal pagi esok.

“Ini tempoh yang sukar. Liga pasti kelihatan berlainan pada awal tahun hingga pertengahan Januari berbanding apa yang berlaku pada Disember,” kata Milner.

“Anda pasti dapat melihat penggantungan pemain, kecederaan yang mengakibatkan pasukan hilang rentak. Adalah penting untuk pemain kekal cergas sebelum Krismas dan saya harap kami dapat melakukannya.”

Kehadiran Klopp (kiri) di Anfield merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kebangkitan Liverpool. – Reuters
Kehadiran Klopp (kiri) di Anfield merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kebangkitan Liverpool. – Reuters

Trofi terakhir dimenangi Liverpool adalah Piala Liga 2012 dan bekas pemain tengah Manchester City itu berkata, dia optimis dengan kemampuan kelabnya menamatkan kemarau piala.

“Skuad kami dibarisi pemain berbakat, kami memiliki gabungan pemain muda dan berpengalaman dan sudah tentu pengurus baru. Ia tempoh yang menyeronokkan buat semua,” kata Milner.

“Jika kami terus berusaha, meningkatkan permainan, menjalankan tugas dengan betul, sudah tentu kami akan berjaya. Kami hanya perlu mencatat kemenangan demi kemenangan.

“Saya harap kami akan terus bersaing merebut kejuaraan pada Januari dan Februari. Kami perlu mencari peluang untuk muncul juara.”