Liverpool dimalukan Burnley

Liverpool dimalukan Burnley

LONDON, 21 Ogos – Liverpool mengharungi kekalahan memalukan 2-0 kepada Burnley, semalam ketika Manchester City membelasah Stoke City 4-1 sekali gus meneruskan permulaan sempurna buat Pep Guardiola di Liga Perdana (PL) Inggeris.

The Reds yang dibimbing Jurgen Klopp memperoleh keputusan baik pada aksi pembukaan PL minggu lalu apabila mencatatkan kemenangan ke atas Arsenal 4-3.

Begitupun, perlawanan kedua berubah menjadi mimpi ngeri dengan penyerang Burnley dari Wales, Sam Vokes meledakkan gol pertamanya dalam kempen elit Inggeris itu seawal minit kedua hasil hantaran Andre Gray yang memanfaat kesilapan pemain Liverpool, Nathaniel Clyne.

Liverpool yang mencatat kekalahan pertama liga di Turf Moor sejak 1973 sekali lagi bolos apabila Gray melakukan larian bijak hasil hantaran Steven Defour untuk meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-37.

Aksi pemain Liverpool, Adam Lallana (kiri) dan pemain Burnley, Scott Arfield ketika perlawanan EPL di Turf Moor, Burnley, England. – AP
Aksi pemain Liverpool, Adam Lallana (kiri) dan pemain Burnley, Scott Arfield ketika perlawanan EPL di Turf Moor, Burnley, England. – AP

Pada aksi lebih awal, penyerang berbisa City, Sergio Aguero meledak dua gol pada aksi di laman Stoke yang juga gol keenamnya dalam tiga perlawanan, musim ini sekali gus membawa kelab bimbingan Guardiola ke puncak liga.

Penyerang antarabangsa Argentina itu membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi penanti selepas Ryan Shawcross mengasari Nicolas Otamendi dan meledak gol keduanya pada minit ke-36 menerusi tandukan hasil sepakan percuma Kevin De Bruyne.

Stoke cuba merapatkan jurang pada minit ke-49 apabila Raheem Sterling dipersalahkan kerana mengasari Shawcross dengan Bojan Krkic menyempurnakan penalti. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA