Liverpool, Hotspur mara

Liverpool, Hotspur mara

PARIS, 27 Nov (AFP) – Liverpool dan Tottenham Hotspur mara ke pusingan kalah mati saingan Liga Europa manakala wakil Scotland dalam pertandingan itu, Celtic, tersingkir apabila tewas lagi.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp, Liverpool, menewaskan Bordeaux 2-1 di Anfield selepas berhadapan masalah menjelang perlawanan apabila penyerang England, Daniel Sturridge mengalami kecederaan kaki semasa latihan.

Kelab Inggeris itu kemudian ketinggalan satu gol dalam perlawanan Kumpulan B itu dalam situasi pelik selepas 33 minit perlawanan apabila penjaga gol, Simon Mignolet dipersalahkan kerana memegang bola selama 20 saat berbanding enam saat yang dibenarkan.

Henri Saivet meledakkan jaringan menerusi sepakan percuma itu tetapi Liverpool menyamakan kedudukan lima minit kemudian apabila James Milner menyempurnakan sepakan penalti selepas Ludovic Sane mengasari Christian Benteke.

Bintang Belgium itu kemudian menjaringkan gol yang memberikan kemenangan kepada Liverpool dalam masa tambahan sebelum rehat.

Pemain Liverpool, Christian Benteke bersaing dengan pemain Bordeaux, Cedric Yambere dan Ludovic Sane dalam aksi Liga Europa di Anfield, kelmarin. – Reuters
Pemain Liverpool, Christian Benteke bersaing dengan pemain Bordeaux, Cedric Yambere dan Ludovic Sane dalam aksi Liga Europa di Anfield, kelmarin. – Reuters

Sementara itu, Harry Kane menanduk masuk gol tunggal untuk Spurs mara ke peringkat 32 pasukan. Penyerang itu menjaringkan gol peribadi ke sembilan dalam enam perlawanan untuk Spurs menang 1-0 ke atas juara Azerbaijan, Qarabag.

Juara Scotland, Celtic pula gagal untuk meraih kemenangan untuk kali ke-10 berturut-turut dalam saingan Liga Europa apabila tewas 2-1 kepada Ajax dalam Kumpulan A.

Callum McGregor meletakkan Celtic di depan pada minit keempat tetapi Arkadiusz Milik menyamakan kedudukan pada minit ke-21 untuk kelab Belanda itu.

Pemain gantian Ajax, Vaclav Cerny menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki dua minit untuk menghidupkan peluang pasukannya untuk mara manakala Celtic tersingkir apabila Fenerbahce menang 2-0 ke atas Molde yang sudah layak ke peringkat seterusnya.