Liverpool intai Giuseppe Rossi

Liverpool intai Giuseppe Rossi

LONDON, 9 Dis – Liverpool sedang mempertimbangkan cadangan untuk mendapatkan bekas penyerang Manchester United yang sering dihantui masalah kecederaan, Giuseppe Rossi dari pasukan Serie A, Fiorentina.

Menurut ItaSportPress, Jurgen Klopp sedia berbelanja 18 juta pound untuk meyakinkan penyerang berusia 28 tahun itu ke Anfield.

Ia sebahagian daripada risiko yang mahu diambil Klopp meskipun penyerang itu bergelut untuk menjaringkan gol musim ini selepas tersisih sepanjang kempen lalu susulan dihantui kecederaan ligamen.

Rossi kini berdepan kesukaran untuk mendapat tempat kesebelasan utama dan masih belum membuka akaun jaringan Serie A pada musim ini walaupun mencetak dua jaringan dalam saingan Liga Europa. Apabila cergas sepenuhnya, penyerang Itali itu pasti akan memberi pulangan yang baik kepada namanya, dengan setakat ini sudah menjaringkan 115 gol dalam 275 penampilan sepanjang kariernya.

Rossi meninggalkan United pada 2007 untuk ke Villarreal dengan yuran perpindahan 6.6 juta pound. Dia hanya membuat 14 penampilan di Old Trafford.

Giuseppe Rossi menjadi buruan Juergen Klopp untuk musim perpindahan Januari ini. – Reuters
Giuseppe Rossi menjadi buruan Juergen Klopp untuk musim perpindahan Januari ini. – Reuters

Ejen Rossi, Andrea Pastorello berkata, pemainnya itu memerlukan aksi utama untuk mendapatkan semula keyakinan dan penyudah berbisanya.

“Dia seperti anjing yang mengejar ekornya sendiri,” katanya. “Untuk menjadi pemain terbaik dia perlu kembali cergas, tetapi untuk melakukannya dia perlu bermain secara konsisten.

“Ia adalah satu pandangan. Ia bukannya masalah atau pun kontroversi yang sengaja dibangkitkan, tetapi tiada keraguan jika dia tidak bermain ia akan menyukarkannya untuk kembali menjadi pemain yang hebat.” Liverpool, sementara itu menyertai musuh Chelsea dan United dalam pemburuan untuk menandatangani bintang muda Red Star Belgrade, Marko Grujic yang beraksi di posisi tengah. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA