Liverpool intai khidmat Gonzalo Higuain, Gary Medel

Liverpool intai khidmat Gonzalo Higuain, Gary Medel

LONDON, 15 Julai – Liverpool dikhabarkan mahu menggunakan hasil penjualan Raheem Sterling untuk mendapatkan penyerang Napoli, Gonzalo Higuain manakala Gary Medel sudah bersedia meninggalkan Inter Milan untuk menyertai The Reds.

Sterling sudah semakin hampir menyertai Manchester City dengan nilai perpindahan sebanyak 49 juta pound selepas ditinggalkan daripada menyertai siri jelajah pramusim ke Thailand, Malaysia dan Australia dan Brendan Rodgers mahu mendapatkan lebih banyak pilihan di bahagian serangan.

Penyerang Aston Villa, Christian Benteke masih lagi menjadi sasaran Rodgers tetapi wang yang diperoleh menerusi perpindahan Sterling akan menyaksikan Liverpool mengalihkan tumpuan kepada bekas bintang Real Madrid, Higuain.

Laporan di Itali menyatakan Liverpool akan memulakan usaha mendapatkan bintang itu selepas Benteke dan pegawai skuad Partenopei itu bersedia untuk memulakan rundingan bersama pihak atasan dari Anfield.

Sementara itu, Medel yang merupakan pemain tengah Inter Milan dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield dengan Rodgers mahu menambah pemain di bahagian itu.

Inter bagaimanapun berhasrat untuk menyimpan pemain itu tetapi sekiranya mereka menerima tawaran yang bersesuaian, Medel bersedia untuk menandatangani kontrak bersama The Reds.

Difahamkan, dia akan meneliti setiap kontrak yang diberikan dan dikhabarkan sangat berminat untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris sekiranya menerima tawaran yang bersesuaian. – Agensi