Liverpool layak menang – Ranieri

Liverpool layak menang – Ranieri

LONDON, 27 Dis – Rekod bersih Leicester City yang tidak pernah tewas dalam 10 perlawanan berturut-turut akhirnya lebur selepas tumpas 0-1 kepada Liverpool, malam tadi.

Pendahulu liga yang penuh dengan kejutan musim ini tampil lemah dan bergelut ketika berdepan Liverpool yang jelas lebih bertenaga hingga berjaya mendapatkan mata penuh di Anfield hasil jaringan pemain gantian, Christian Benteke di separuh masa kedua.

Ia kekalahan kedua Leicester dalam liga musim ini dan kali pertama mereka gagal menjaringkan gol dengan dua bintang mereka Jamie Vardy dan Riyad Mahrez, yang berkongsi menjaringkan 29 daripada 37 gol liga, gagal mengancam kerana di kawal rapi pertahanan Liverpool.

Pengurus Claudio Ranieri berkata, Vardy yang juga penyerang England bermain dalam keadaan demam manakala bintang Algeria, Mahrez keletihan. Kedua-dua pemain itu kemudian digantikan pada babak kedua.

Leicester perlu segera memulihkan prestasi mereka kerana bakal menerima kunjungan Manchester City, Rabu ini dan skuad Ranieri menganggap ia satu lagi halangan besar dalam usaha mengejar cita-cita mereka.

Claudio Ranieri (kanan) berjabat tangan bersama Jugen Klopp selepas perlawanan itu. – Reuters
Claudio Ranieri (kanan) berjabat tangan bersama Jugen Klopp selepas perlawanan itu. – Reuters

“Kami lambat panas. Liverpool mengasak dari awal perlawanan dan mereka berhak untuk menang,” kata Ranieri yang menyaksikan pasukannya kekal selaku pendahulu liga dengan 38 mata daripada 18 perlawanan apabila Arsenal gagal mengambil kesempatan dengan tewas mengejut 4-0 di Southampton.

“Kami cuba untuk melakukan yang terbaik tetapi mungkin pada separuh masa pertama kami terlalu gugup untuk bermain dengan cara kami.

“Separuh masa kedua lebih baik, tetapi ia adalah OK. Sekarang kami perlu bangkit dan bersedia untuk perlawanan seterusnya.” – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA