Liverpool mahu berdamai

Liverpool mahu berdamai

LONDON, 9 Feb – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pemilik kelab sedang berusaha berdamai dengan penyokong yang tidak berpuas hati dengan cadangan menaikkan harga tiket musim depan. Protes peminat itu dilakukan pada perlawanan Liverpool menentang Sunderland, membabitkan 10,000 penyokongnya meninggalkan stadium pada minit ke-77 sebagai simbolik membantah cadangan menaikkan harga tiket kepada 77 pound bermula musim depan.

Pada perlawanan itu, Klopp tidak berada di stadium susulan pembedahan apendiks. Meskipun dilarang mengulas kenaikan harga tiket berkenaan sebelum perlawanan bermula, pengendali Jerman itu mengakui bersimpati dengan peminat sambil berharap pemilik kelab iaitu Kumpulan Fenway Sports mencari penyelesaian segera.

“Saya ada beberapa perkara untuk dilakukan sepanjang minggu ini tetapi saya tahu ia kini menjadi masalah bagi saya,” katanya menjelang pertemuan ulangan pusingan keempat Piala FA melawan West Ham.

“Semuanya akan menjadi kelam kabut dan saya perlu mengumpul beberapa maklumat mengenainya. Saya tidak mahu melihat penonton meninggalkan stadium sebelum perlawanan tamat,’’ katanya.

Sebelum ini, media England melaporkan, pengurus kelahiran Jerman itu terlepas aksi di laman sendiri bertemu Sunderland, Sabtu lalu, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 berikutan menjalani pembedahan apendiks di Hospital Liverpool.

Klopp mengakui pemilik kelab berusaha berdamai dengan penyokong yang tidak berpuas hati dengan cadangan kenaikan harga tiket. – Reuters
Klopp mengakui pemilik kelab berusaha berdamai dengan penyokong yang tidak berpuas hati dengan cadangan kenaikan harga tiket. – Reuters

Bekas pengurus kelab Borussia Dortmund itu kini tidak sabar untuk menyambung tugasnya di pusat latihan kelab itu. Malah, beliau juga mungkin hadir pada sidang media menjelang perlawanan timbal balik pusingan keempat Piala FA bertemu West Ham, yang dijadualkan, esok.

Liverpool begitupun akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada akan membenarkan pengendali berusia 48 tahun itu untuk bekerja atau tidak. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA