Liverpool menang besar

Liverpool menang besar

LIVERPOOL, 21 April – Liverpool mengaibkan Everton pada aksi tetangga Merseyside awal pagi tadi menerusi kemenangan 4-0 pada perlawanan yang menyaksikan Everton berjuang dengan 10 pemain apabila Ramiro Funes Mori dibuang padang selepas melakukan terjahan berbahaya pada separuh masa kedua.

Dua gol tandukan Origi dan Sakho pada babak pertama dalam pertembungan yang amat menghiburkan itu menyaksikan rekod buruk Everton di Anfield berterusan selepas Ramiro Funes Mori mendapat kad merah kerana menerjah Origi dengan dahsyat pada minit ke-50.

Tidak lama selepas itu, Sturridge melorongkan bola melepasi Joel Robles untuk menambah gol ketiga buat pasukan tuan rumah sebelum gol cantik Coutinho 14 minit sebelum tamat, sekali gus melengkapkan persembahan buruk pertahanan Everton.

Liverpool menoko satu tangga ke tempat ketujuh dalam Liga Perdana, manakala Everton tanpa kemenangan dalam tujuh perlawanan kekal di tangga ke-11.

Perlawanan malam tadi membuktikan Anfield bukan tempat untuk Everton bergembira dan masih menjadi badi kepada mereka sejak beberapa tahun dan gagal menang di sebelah lagi kawasan Stanley Park itu sejak 1999.

Pemain Liverpool, Mamadou Sakho (kiri) menanduk masuk bola untuk menambah jaringan The Reds semasa menentang Everton di Anfield, kelmarin. – AP
Pemain Liverpool, Mamadou Sakho (kiri) menanduk masuk bola untuk menambah jaringan The Reds semasa menentang Everton di Anfield, kelmarin. – AP

Liverpool yang belum lagi tewas dalam 11 aksi jiran tetangga Merseyside kekal di tangga ketujuh liga, namun rentak yang diraih bakal memberi motivasi tambahan menjelang aksi separuh akhir Liga Europa menentang Villareal.

Bagaimanapun, Liverpool membayar kemenangan terbabit dengan harga yang mahal selepas Jurgen Klopp mengesahkan Origi mengalami kecederaan pada buku lalinya.

“Saya memang gembira dengan kemenangan ini namun saya tidak boleh meraikannya kerana kecederaan dialami Origi.”

“Mereka katakan keadaannya nampak teruk namun buku lalinya tidak patah, hanya terseliuh sedikit namun dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat tetapi kita akan memantau keadaannya terlebih dulu.”

The Reds terpaksa menunggu sehingga minit ke-43 untuk mendahului permainan apabila Milner melakukan hantaran lintang yang disempurnakan Origi sebelum dia sekali lagi melakukan hantaran lintang untuk Sakho yang menyudahkannya dari jarak dekat untuk mereka mendahului 2-0 pada babak pertama.  – AFP