Liverpool optimis

Liverpool optimis

BASEL, Switzerland, 17 Mei (AFP) – Pemain tengah Liverpool, Emre Can percaya kualiti semangat juang The Reds akan membantu mereka mengakhiri penantian 11 tahun trofi Liga Europa apabila bertemu Sevilla dalam final pada awal pagi Khamis ini.

Dalam pertemuan final pertama sejak kekalahan kepada AC Milan pada Liga Juara-Juara 2007, Liverpool kini berada di landasan terbaik menghalang pasukan Sepanyol daripada memenangi gelaran Liga Europa kali ketiga berturut-turut di St Jakob-Park, Basel.

Laluan itu membawa perjalanan baharu yang mencabar buat Liverpool di bawah pengurus baharu, Jurgen Klopp susulan kemenangan dramatik ke atas Manchester United, Borussia Dortmund dan Villarreal sejak beberapa bulan ini.

Selepas menyaksikan pasukannya menewaskan Villarreal sebelum ke final, Klopp berkata: “Untuk melangkah ke final, anda perlukan sedikit tuah pada waktu yang tepat.

liverpool

“Tetapi kebanyakan masa anda perlukan persembahan yang menyerlah. Kini kami berada di sini dan ia adalah peluang yang bagus. Kami akan mengambilnya.”

Peminat Liverpool sudah tentu teruja, tetapi sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya mempertahan trofi sebanyak dua kali pada 2007 dan 2015 serta empat rekod gelaran Liga Europa, Sevilla dilihat tidak begitu tertekan.

“Sevilla tahu bagaimana untuk bermain di Liga Europa,” Can memberitahu laman web Liverpool.

“Mereka memenangi dua gelaran terakhir Liga Europa jadi ia akan jadi permainan yang sukar tetapi jika kami tunjukkan apa yang mampu dilakukan sebagai satu pasukan, kami boleh menang di final.”