Liverpool perlu tunjuk kekuatan mental

Liverpool perlu tunjuk kekuatan mental

STOKE-ON-TREBT, United Kingdom, 4 Jan (AFP) – Dejan Lovren meminta Liverpool menunjukkan kekuatan mental ketika mereka mahu segera pulih daripada kekecewaan terbaharu bagi berdepan pusingan pertama separuh akhir Piala Liga awal pagi Rabu ini di Stoke City.

Pengurus, Jurgen Klopp berharap akan dapat menamatkan musim pertamanya dalam bola sepak Inggeris dengan kedudukan empat terbaik Liga Perdana dan tempat ke Liga Juara-Juara namun ia menerima ancaman apabila Liverpool memulakan tahun baharu dengan kekalahan 2-0 di tangan West Ham United kelmarin.

Pengendali dari Jerman itu berang dengan persembahan anak-anak buahnya tetapi musim pertamanya di Anfield masih boleh berakhir dengan merangkul kejuaraan ketika Liverpool ada dua lagi perlawanan sebelum ke Wembley untuk berdepan sama ada Manchester City atau jiran, Everton.

Lovren menyedari bahawa pengurusnya memang berhak untuk marah selepas perlawanan berdepan West Ham dan pertahanan tengah Croatia itu berkata: “Kami kecewa. Ia bukanlah persembahan terbaik daripada kami dan kami perlu marah dengan diri sendiri.

“Saya tidak tahu apa sebabnya, tetapi kami perlu meningkat dengan lebih cepat daripada ini kerana kami tidak ada masa untuk memikirkannya ketika ini, kerana kami ada perlawanan menentang Stoke.

“Kami pasti perlu mengubah mentaliti dan kami perlu melalui perlawanan yang lebih bagus dan lebih banyak bertarung. Saya boleh katakan, ia adalah dua gol mudah untuk dilepaskan.

“Kami ada perlawanan merebut piala berdepan Stoke dan ini adalah peluang besar buat kami untuk ke final.”