Liverpool pesta gol

Liverpool pesta gol

LONDON, 3 Dis (AFP) – Divock Origi merakam hatrik manakala Daniel Sturridge menyumbat dua gol ketika kedua-duanya menjulang Liverpool menang 6-1 ke atas Southampton dalam saingan suku akhir Piala Liga Inggeris awal pagi tadi waktu Malaysia.

Pun begitu, Sadio Mane lebih dulu meletakkan tuan rumah di depan hanya dalam tempoh 39 saat, namun Sturridge menyamakan kedudukan untuk gol pertamanya sejak 4 Oktober lalu.

Dan selepas itu, penyerang Belgium, Origi mencipta jaringan trebel untuk pelawat berpesta gol yang diakhiri dengan ledakan pemain gantian, Jordan Ibe.

Keputusan itu sekali gus meneruskan kebangkitan berterusan skuad The Reds sejak pelantikan Jurgen Klopp yang setakat ini tewas satu daripada 11 aksi dan memenangi tujuh daripada lapan perlawanan terakhir.

“Kami tidak ada idea magik,” kata Klopp yang pasukannya akan bertemu Stoke City pada saingan separuh akhir selepas ini.

Pasukan Liverpool ketika meraikan jaringan semasa menentang Southampton, kelmarin. – Reuters
Pasukan Liverpool ketika meraikan jaringan semasa menentang Southampton, kelmarin. – Reuters

“Ia berkaitan dengan usaha bersungguh-sungguh. Anda tidak berada di Liverpool kerana cuaca. Anda berada di situ kerana kelab bola sepaknya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Southampton, Ronald Koeman berkata itu bukanlah keputusan yang mereka harapkan.

“Ia satu permulaan baik buat kami, namun kesilapan di bahagian pertahanan pada separuh masa pertama selain permainan berkualiti Liverpool, menyebabkan kami kalah,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Stoke dan harapan Liverpool ke final, Klopp berkata dia tidak kisah jumpa pasukan mana sekali pun.

“Saya tidak ada masalah untuk bertemu Everton. Seperti yang kamu boleh lihat, kami juga tidak ada masalah menentang Manchester City,” katanya.

“Tetapi kami kena bertemu Stoke dulu. Dalam hidup saya, ada beberapa aksi final. Ia bukan tugas senang dan Stoke pasti mahu layak ke final. Ia akan diadakan pada Januari, jadi kami perlu tunggu.”

Liverpool kini memegang rekod Piala Liga dengan lapan kejayaan dan kali terakhir mereka menjulangnya ialah pada saingan 2012.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris ketika ini, City adalah pemenang tahun lalu, Everton belum pernah mengecapi kejayaan untuk kejuaraan itu manakala Stoke pula gagal mara ke separuh akhir sejak memenangi pertandingan ini pada 1972.