Liverpool terikat 1-1 dengan Everton

Liverpool terikat 1-1 dengan Everton

LIVERPOOL, 5 Okt (AFP) – Liverpool dan Everton melakar keputusan seri keenam sepanjang tujuh pertemuan apabila pertembungan Merseyside malam tadi berakhir dengan keputusan 1-1.

Danny Ings meletakkan Liverpool di depan apabila dia menghukum kesilapan pertahanan Everton dan menanduk masuk sepakan sudut yang diambil James Milner pada minit ke-41.

Tetapi Romelu Lukaku memastikan Everton tidak ketinggalan untuk menyamakan kedudukan selepas menghukum kesilapan Amre Can yang gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti sejurus sebelum wisel penamat babak pertama dibunyikan.

Kedua-dua pengurus tidak membuat sebarang perubahan ke atas skuad masing-masing sekali gus bermakna Everton turun tanpa pemain pertahanan John Stones dan Seamus Coleman manakala Liverpool menggandingkan Daniel Sturridge serta Ings di bahagian depan.

Dalam pertembungan ke-225 buat kedua-dua pasukan, pemain melakukan banyak kesilapan mudah dan perlawanan kelihatan sedikit hambar.

Aksi ketika perlawanan itu berlangsung. – AFP
Aksi ketika perlawanan itu berlangsung. – AFP

Pengadil Martin Atkinson pula terpaksa lebih kerap meniup wisel apabila Can dan Lukaku saling bertolak-tolakan manakala James McCarthy pula mengasari kaki Philippe Coutinho untuk menjadikan perlawanan berlangsung dalam keadaan agak keras.

Ings dan Milner menghasilkan cubaan paling bermakna buat Liverpool tetapi Everton pula tidak mahu mengalah dengan menguji Simon Mignolet sebanyak dua kali sepanjang 30 minit pertama.

Penjaga gol Liverpool itu sekali lagi berhempas pulas tidak lama kemudian ke sebelah kanan gawang untuk menepis rembatan McCarthy.

Bahang pergaduhan mula hadir apabila Can sengaja melengahkan permainan membuatkan berlakunya insiden tolak menolak dengan Barkley dan mengakibatkan kedua-duanya dilayangkan kad kuning.

ARTIKEL YANG SAMA