Liverpool tewaskan Sunderland 2-0

Liverpool tewaskan Sunderland 2-0

LONDON, 27 Nov – Dua gol daripada pemain gantian Divock Origi dan James Milner membantu Liverpool menang 2-0 ke atas Sunderland dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Kemenangan itu berjaya meletakkan Liverpool kembali di landasan kemenangan selepas diikat tanpa jaringan oleh Southampton, minggu lalu sekali gus menceriakan bos, Jurgen Klopp.

Bagaimanapun, Liverpool dipaksa bekerja keras sebelum memperoleh kemenangan dengan gol pembukaan hanya terhasil pada minit ke-75 menerusi pemain gantian, Origi sebelum Milner menambah kelebihan tuan rumah menerusi sepakan penalti.

Kemenangan menyaksikan Liverpool mengumpul 30 mata namun kemenangan tersebut memerlukan pengorbanan apabila pemain tonggaknya Philippe Coutinho mengalami kecederaan pada buku lali yang mungkin memerlukan waktu berehat yang panjang.

Pemain kebangsaan Brazil itu terpaksa diusung keluar padang pada pertengahan babak pertama perlawanan selepas bertembung dengan pemain Sunderland di dalam kawasan penalti lawan.

Pasukan Liverpool meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan tersebut. - AP
Pasukan Liverpool meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan tersebut. – AP

Sementara itu, penyandang juara, Leicester terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum mencatat keputusan seri bertemu Middlesbrough di laman sendiri, King Stadium.

Meskipun bermain di laman sendiri, persembahan Leicester kali ini turut kurang meyakinkan apabila terpaksa memerlukan dua penalti termasuk pada masa kecederaan babak kedua sebelum berjaya mengikat lawan.

Ketinggalan seawal minit ke-13 menerusi Alvaro Negredo, Leicester menyamakan kedudukan menerusi Riyad Mahrez pada minit ke-34 menerusi penalti.

Negredo sekali lagi menunjukkan ketajamannya apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-71 namun penalti kedua Leicester yang disempurnakan Islam Slimani pada masa tambahan separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan perlu berkongsi satu mata.

Dalam perlawanan lain, Hull City diikat 1-1 oleh West Bromwich Albion. – AFP