Liverpool ubati kekalahan

Liverpool ubati kekalahan

LONDON, 21 Jan – Meskipun tewas di laman sendiri ke atas Man United baru-baru ini, Liverpool kini bangkit semula apabila menewaskan Exeter City 3-0 dalam saingan Piala FA pagi tadi dan seterusnya dijadualkan berdepan West Ham United dalam pertembungan pusingan keempat manakala Tottenham pula menewaskan Leicester City.

Liverpool sebelum ini diselamatkan oleh jaringan penyamaan pada minit ke-73 dari Brad Smith untuk melengkapkan keputusan 2-2 di Exeter dan pasukan dari Liga Dua itu sekali lagi mempamerkan persembahan menarik di Anfield.

Namun pasukan kendalian Jurgen Klopp jelas lebih mendominasi lawan di perlawanan pusingan ketiga itu dengan jaringan awal dari Joe Allen pada minit ke-10, gol pertama dari pemain gantian berusia 18 tahun, Sheyi Ojo dan Joao Teixeira.

Klopp, yang melakukan 10 perubahan dalam senarai kesebelasan utama, jelas memuji barisan mudanya dengan berkata: “Mereka bermain dengan bagus. Kami mungkin boleh menjaringkan lebih banyak gol.

Pemain Exeter City cuba merampas bola daripada Benteke. - Reuters
Pemain Exeter City cuba merampas bola daripada Benteke. – Reuters

“Masa kami bersama pemain ini masih sedikit tetapi hasilnya agak baik. Mereka berbakat, mempunyai skil besar tetapi mereka juga menunjukkan usaha yang sepatutnya dilakukan.”

Di Stadium King Power, penyerang dari Korea Selatan, Son Heung-Min meledak jaringan gol selain membantu rakannya menjaringkan gol bagi membolehkan Tottenham menang dengan keputusan 2-0 seterusnya dijadual berdepan Colchester United di pusingan keempat nanti.

Son memecah kebuntuan gol dengan penuh gaya pada minit ke-39, merembat bola melepasi penjaga gol lawan Kasper Schmeichel.

Dia seterusnya membantu Nacer Chadli untuk menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-66.

“Prestasi yang menarik dan saya sangat gembira dengan pemain dan juga penyokong,” kata pengurus Spurs, Mauricio Pochettino.

“Kami menguasai dan berjaya mengawal perlawanan dengan baik. Sikap kami sangat menakjubkan.” – AFP