Liwat: Penjara 9 tahun, 6 sebatan

Liwat: Penjara 9 tahun, 6 sebatan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai – Seorang lelaki tempatan yang menghadapi 18 pertuduhan berhubung kes liwat dan aktiviti seksual terpaksa berhari raya dalam sel penjara setelah dia dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.

Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin memerintahkan hukuman ke atas Mohammad Shahdon bin Mohammad Ramlee, 28, (gambar) berkuat kuasa 6 Julai 2015 iaitu hari pertama dia ditahan reman.

Antara pertuduhan ke atas beliau ialah meliwat, mengajar seks, melibatkan diri dalam aktiviti seksual di depan kanak-kanak, mengambil gambar lucah dan menyebarkan gambar lucah kanak-kanak tersebut.

Oleh kerana fakta-fakta kes turut menunjukkan bahawa terdapat penyebaran gambar-gambar lucah dan video melalui media sosial, Hakim telah memberi amaran bahawa mana-mana penyebaran video dan gambar perlu dihentikan, dan tindakan serius akan diambil terhadap mereka yang didapati menyebarkan gambar-gambar dan video tersebut. Hakim sebelum menjatuhkan hukuman berkata, fakta kes adalah sangat membimbangkan di mana dia melihat kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh telah dirancang dengan baik, dan tertuduh telah membuat pembohongan untuk membersihkan dirinya.

“Tertuduh telah mengambil masa untuk mewujudkan hubungan dengan mangsa iaitu budak-budak lelaki, dan adalah jelas tertuduh merupakan seorang yang berbahaya.”

pg01_150707_b

“Tertuduh adalah pencari mangsa seksual yang telah mengambil kesempatan atas kepercayaan mangsa,” kata Hakim.

Mahkamah sedar akan keperluan untuk melindungi belia-belia yang terdedah kepada eksploitasi seks di mana Hakim mengatakan bahawa terdapat jurang yang luas antara usia tertuduh dan mangsa dalam kes ini.

Hakim turut berkata, penalti maksimum bagi kesalahan mengajar seks hanyalah penjara tiga tahun dan menggesa untuk hukuman itu dikaji semula dan memperuntukkan hukuman sebat.

Hakim turut menyarankan supaya peruntukan dibuat bagi pendaftaran pesalah seksual seperti yang terdapat dalam bidang kuasa mahkamah lain.

Fakta-fakta kes seperti yang diakui oleh tertuduh menunjukkan tertuduh telah berkawan dengan seorang budak lelaki berusia 15 tahun melalui media sosial, dan menghubunginya melalui Whatsapp dengan menyamar sebagai seorang perempuan.

Perbualan dengan mangsa membawa tertuduh untuk memaksa mangsa menghantar gambar bogel dirinya kepada tertuduh di mana mangsa masih dalam tanggapan bahawa tertuduh adalah seorang perempuan.

Tertuduh kemudian menghubungi mangsa dan berpura-pura menjadi abang kepada ‘perempuan’ itu yang mana dia mengugut untuk mengedarkan gambar-gambar bogel mangsa jika mangsa tidak mahu bertemu dengannya.

Ugutan tertuduh itu membawa kepada mangsa bertemu dengannya.

Dalam pertemuan itu, tertuduh mengugut mangsa bahawa dia akan menyebarkan gambar-gambar itu jika mangsa tidak melakukan perbuatan onani terhadap tertuduh, yang mana mangsa ketika itu enggan mengikut permintaannya.

Tertuduh terus menghubungi mangsa dan mengulangi ugutannya sehingga mangsa tidak mempunyai pilihan dan terpaksa akur akan permintaan tertuduh kerana takut malu jika gambar-gambar itu disebarkan.

Sepanjang tempoh itu, tertuduh mengajar seks kepada mangsa dan melakukan perbuatan liwat ke atasnya.

Perbuatan yang dilakukan itu dirakam dalam bentuk gambar dan video oleh tertuduh dalam telefon bimbitnya.

Mangsa turut membawa bersama adiknya berusia 14 tahun apabila bertemu tertuduh di mana adiknya turut dipaksa oleh tertuduh untuk melihat tertuduh melakukan aktiviti seksual.

Pada masa itu, tertuduh turut mengajar seks kepada adik mangsa.

Selepas beberapa insiden, mangsa dan adiknya tidak mahu bertemu lagi dengan tertuduh, dan ini membuat tertuduh mengugut untuk menyebarkan gambar-gambar lucah dan video yang dirakam pada telefon bimbitnya.

Perbuatan tertuduh itu menyebabkan mangsa merasa malu dan ini membawa kepada penangkapan tertuduh pada 8 Jun 2015.

Jabatan Peguam Negara dalam mesej yang disampaikan kepada orang ramai melalui usaha berterusan jabatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan bahaya media sosial sekali lagi mengulangi amarannya akan perlunya pengguna media sosial untuk berhati-hati dan sentiasa peka akan risiko dan bahaya bertemu orang dalam talian, dan juga mengongsikan gambar-gambar dengan orang tersebut dalam media sosial.

ARTIKEL YANG SAMA