Liyana Yus Duta Jollibee

Liyana Yus Duta Jollibee

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Pelakon tempatan yang membintangi filem Yasmine, Liyana Yus telah dipilih menjadi Duta Jollibee di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, majlis penandatangan memorandum perjanjian telah diadakan petang tadi di ruang legar Pusat Membeli-belah Time Square di antara Ketua Cawangan Jollibee cawangan Brunei Darussalam, Jhing Perias dan Din Kamaluddin selaku Pengarah Origin Artistic Management (OAM) yang disaksikan oleh Liyana Yus dan peminat-peminat beliau yang berada di pusat membeli-belah tersebut.

Jhing Perias berkata, beliau gembira Liyana Yus menjadi Duta Jollibee di negara ini, mereka telah lama merancang untuk mencari duta Jollibee bagi negara ini.

Menurutnya, Liyana Yus menjadi pilihan akhir, bukan sahaja kerana pencapaian beliau selama ini, malah beliau dilihat seorang yang berbakat, ceria, peminat Jollibee dan mereka percaya beliau akan membawa kegembiraan kepada masyarakat Brunei.

Liyana Yus turut menyuarakan kegembiraan atas kerjasama dengan Jollibee itu, berkata, “Saya berterima kasih kepada Jollibee kerana mempercayakan saya menjadi seorang duta bagi mereka terutama buat kali pertama dibuat di luar Filipina”.

(Dari kiri) Din Kamaluddin, Liyana Yus dan Jhing Perias menandatangani memorandum perjanjian.
(Dari kiri) Din Kamaluddin, Liyana Yus dan Jhing Perias menandatangani memorandum perjanjian.
Liyana Yus membesar bersama Jollibee dan menikmati hidangan makanannya sejak dari dulu lagi.
Liyana Yus membesar bersama Jollibee dan menikmati hidangan makanannya sejak dari dulu lagi.

Dalam pada itu, Liyana mengongsikan bahawa beliau membesar bersama Jollibee dan menikmati hidangan makanannya sejak dulu lagi, sehingga sekarang Jollibee menjadi minat beliau.

“Sejak Jollibee berada di negara ini selama hampir 30 tahun, ia menjadi tiga kunci utama dalam organisasi kami iaitu makanan dengan rasa yang sedap, perkhidmatan mesra pelanggan dan pengalaman masa terbaik terutama bersama keluarga, menjadikan Liyana sebagai duta akan menambah keceriaan restoran kami,” tambah Jhing Perias.

Selain mengumumkan Duta Jollibee di negara ini, Jollibee juga melancarkan akaun Instagram baru ‘Jollibeebrunei’ bagi berita dan promosi terkini serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Jollibee Brunei, di samping pelbagai peraduan dan aktiviti yang akan diadakan nanti.