Liza Hanim muncul dengan single terbaharu

RAMAI menantikan single terbaharu daripada penyanyi Liza Hanim selepas muncul dalam program realiti Gegar Vaganza 4 (GV4).

Bagi mengubat kerinduan peminat, penyanyi bersuara tinggi dan lunak itu menghadiahkan single berjudul Mimpi, hasil ciptaan komposer Hafiz Hamidun.

Menambah rasa dalam karya terbaru itu, Mimpi diterjemahkan menerusi bait kata hasil nukilan puitis penulis lirik, Fedtri Yahya.

Melodi baladanya berkualiti malah tarikan utama adalah pada bahagian korus.

Liza berkata, itu adalah ‘cangkuk’ yang menarik perhatiannya untuk menerima lagu ini.

Liza Hanim muncul dengan single terbaru berjudul Mimpi.

“Bahagian korusnya seperti memanggil-manggil dan ia menarik perhatian saya. Selain itu, Mimpi agak berbeza daripada lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini,” katanya.

Menyentuh lirik dan jalan cerita, ia mengisahkan pasangan yang dilamun cinta menempuh fasa getir ketika berumah tangga.

Kebahagiaan mereka diragut apabila salah seorang terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia.

“Apa yang mampu saya katakan, Mimpi mempertaruhkan emosi dan harapnya apa yang saya terjemahkan dalam bentuk nyanyian sampai kepada pendengar,” katanya.

Bagi memastikan ia benar-benar berkualiti, Liza mengambil keputusan merakamkannya sebanyak dua kali.

“Ia sudah dirakamkan pada April tahun lalu, tetapi saya rasa ada sesuatu yang kurang.

Disebabkan itu, saya berbincang dengan Hafiz selaku penerbit dan merakamkannya semula sehingga saya berpuas hati,” katanya.

Video muzik Mimpi juga sudah dimuat naik ke YouTube sejak 23 Februari lalu dan kini mencecah 40,000 tontonan.