LKIM bina pusat sejuk beku ikan terbesar di Sabah

LKIM bina pusat sejuk beku ikan terbesar di Sabah

SEMPORNA, 20 Dis (Bernama) – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mewujudkan sebuah pusat sejuk beku ikan yang pertama di negeri ini bernilai RM250,000.

Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim berkata pusat yang akan diadakan di Sandakan itu akan menjadi tempat penyimpanan ikan terbesar di Sabah dan sebagai tempat pengumpulan tangkapan ikan nelayan di seluruh negeri untuk pasaran luar.

“Sabah kaya dengan hasil laut, LKIM mahu terus membantu nelayan di Sabah kerana negeri ini syurga ikan. Jadi, kita ambil inisiatif ini bagi membantu mengukuhkan industri perikanan di negeri ini sekali gus membantu sosioekonomi para nelayan,” katanya.

Datuk Irmohizam Ibrahim. – Bernama
Datuk Irmohizam Ibrahim. – Bernama

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kerja LKIM dan Pemimpin Nelayan Wilayah III Tawau di sini Sabtu malam.

Katanya, pusat sejuk beku berkenaan juga akan dijadikan contoh kepada lebih banyak pusat seumpamanya untuk diwujudkan di kawasan lain di seluruh negara.