Lloyd inspirasi kebangkitan AS

Lloyd inspirasi kebangkitan AS

VANCOUVER, 6 Julai (AFP) – Empat tahun lalu, kapten Amerika Syarikat (AS), Carli Lloyd antara pemain yang gagal meledak gol pada penentuan penalti di pentas final, sekali gus membawa kepada kemenangan bersejarah Jepun di Piala Dunia Wanita.

Begitupun, semalam Lloyd muncul pemain pertama berjaya meledak hatrik di final Piala Dunia Wanita selepas AS mencatat kemenangan besar 5-2 ke atas Jepun di pentas final, di sini.

Pada edisi 2011 di Jerman, AS yang juga juara pada 1991 dan 1999 tumbang menerusi penentuan penalti kepada Jepun namun Lloyd, 32, jelas enggan situasi sama berulang dengan meledak jaringan seawal minit ketiga perlawanan.

“Saya mempunyai misi hari ini,” katanya Llyod yang meledak gol keduanya di Stadium BC Place pada minit kelima sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-16.

“Ia seakan-akan tidak benar, ia tidak lagi hilang. Saya secara mental amat penat. Kami tahu jika kami melakukannya kepada Jepun, mereka akan merasa gemuruh di atas padang,” katanya.

Carli Lloyd (10) bergambar dengan anugerah Bola Emas bersama presiden Persekutuan Bolasepak AS Sunil Gulati selepas muncul sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia Wanita 2015. - AFP
Carli Lloyd (10) bergambar dengan anugerah Bola Emas bersama presiden Persekutuan Bolasepak AS Sunil Gulati selepas muncul sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia Wanita 2015. – AFP

Jurulatih AS, Jill Ellis berkata dia hanya berfikir sesuatu selepas skuad bimbingannya pantas merobek gawang lawan. “Cubit saya, bangunkan saya!” katanya. “Kami sebelum ini bercakap untuk memulakannya dengan pantas dan saya tahu pemain dapat melakukannya.

“Pemain-pemain ini lahir untuk perkara besar seperti ini. Saya fikir lima (jaringan) adalah mimpi jadi kenyataan,” katanya.

Jurulatih Jepun, Norio Sasaki berkata, dia cuba memberi amaran kepada pemainnya mengenai ancaman Llyod yang bergandingan cemerlang bersama Alex Morgan namun jeritannya ditenggelamkan oleh sorakan penonton.

“Saya cuba memberitahu mereka namun mereka tidak dapat mendengar jeritan saya,” katanya. “Llyod, dia sentiasa melakukan perkara ini kepada kami.

“Di London, dia menjaringkan dua gol dan di sini, tiga. Kami amat malu namun kami juga menghormatinya, dia layak untuk mendapat (anugerah) Bola Emas,” katanya.

Pertembungan final hari ini adalah yang ketiga buat AS dan Jepun pada kejohanan besar sejak 2011 dengan AS memenangi dua dan Jepun sekali. Pada 2012, AS menewaskan Jepun pada penentuan pingat emas Olimpik di London.

ARTIKEL YANG SAMA