Lloyd, O’Hara wirawati AS mara ke final

Lloyd, O’Hara wirawati AS mara ke final

MONTREAL, 1 Julai (AFP) – Carli Lloyd dan Kelley O’Hara masing-masing meledak pada babak kedua bagi membantu Amerika Syarikat (AS) menempah tempat ke final Piala Dunia Wanita di sini, selepas menewaskan Jerman 2-0, hari ini.

Lloyd yang juga kapten pasukan, membuka tirai jaringan pada minit ke-69 menerusi sepakan penalti, sebelum pertahanan, O’Hara mengukuhkan kedudukan AS pada minit ke-84.

AS yang juga juara pada edisi tahun 1991 dan 1999 serta berada di ranking nombor dua dunia, dijadual bertemu sama ada England atau Jepun di pentas final di Vancouver, Ahad ini.

Hadir dengan status ranking nombor satu dunia, Jerman sepatutnya lebih dulu meledak namun penyerangnya, Celia Sasic yang juga pendahulu penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol, gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-60.

Jerman memperoleh penalti selepas pemain AS, Julie Johnston menjatuhkan Alexandra Popp dengan Sasic sekadar melepaskan rembatan rendah yang mudah dibaca penjaga gol AS, Hope Solo.

Kelley O’Hara (5) meraikan jaringan hasil hantaran Carli Lloyd (10) dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Wanita menentang Jerman di Stadium Olimpik Montreal, semalam. – AFP
Kelley O’Hara (5) meraikan jaringan hasil hantaran Carli Lloyd (10) dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Wanita menentang Jerman di Stadium Olimpik Montreal, semalam. – AFP

Enam minit kemudian, Alex Morgan hampir menjaringkan gol buat AS, namun cubaannya melepasi palang gol Jerman sebelum dianugerahkan penalti, selepas Morgan dijatuhkan Annike Krahn.

Tiada kesilapan dilakukan Lloyd untuk meletakkan AS di depan dengan rembatannya gagal dibaca penjaga gol Jerman, Nadine Angerer.

Enam minit sebelum permainan berakhir, Lloyd berjaya melarikan bola sebelum membuat hantaran kepada O’Hara yang tidak mensia-siakan peluang, sekali gus menyingkirkan Jerman selaku juara dua kali.

Satu lagi aksi separuh akhir membabitkan Jepun dan England dijadualkan di berlangsung di Bandaraya Edmonton, awal pagi esok.

ARTIKEL YANG SAMA