LNG terapung pertama dinamakan

LNG terapung pertama dinamakan

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) – Petroleum Nasional Bhd (Petronas) menamakan kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung pertamanya, PFLNG SATU.

Ia menandakan satu lagi kemajuan penting yang dicapai perbadanan minyak dan gas nasional itu dalam arena perniagaan LNG global.

Pemain utama minyak dan gas negara itu dalam satu kenyataan hari ini berkata PFLNG SATU dinamakan dalam satu majlis oleh Petronas, bersama dengan rakan strategiknya Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering Co. Ltd (DSME) dan Technip, di DSME shipyard di Okpo, Korea Selatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata kemudahan LNG terapung itu menandakan satu pencapaian kejayaan bukan sahaja kepada syarikat tersebut tetapi juga bagi Malaysia.

“PFLNG SATU adalah bukti keupayaan kejuruteraan Petronas dan rakan-rakan kongsinya. Kami melakukan perkara yang sangat berbeza dan menukarkan aspirasi teknologi kami untuk mempunyai loji LNG di atas kapal terapung menjadi satu realiti,” katanya.

Warga Petronas bersama rakan-rakan strategiknya pada majlis penamaan PFLNG SATU. – Bernama
Warga Petronas bersama rakan-rakan strategiknya pada majlis penamaan PFLNG SATU. – Bernama

Kemudahan LNG terapung itu merupakan pembawa perubahan dalam perniagaan LNG global kerana ia membuka jalan bagi peluang untuk mengewangkan sumber gas daripada lapangan terpencil, lapangan yang dibuka semula dan lapangan terbiar, yang sebaliknya tidak menguntungkan jika dibangunkan menerusi kaedah konvensional.

PFLNG SATU akan berlabuh di lapangan gas Kanowit Malaysia, 180 kilometer di luar pantai Sarawak, dan memiliki kapasiti menghasilkan 1.2 juta tan metrik LNG setahun.

Ia akan memainkan peranan penting dalam usaha Petronas memanfaatkan rizab gas di lapangan-lapangan terpencil dan terbiar di Malaysia, di samping menyokong portfolio LNG global syarikat itu dan meningkatkan reputasinya sebagai pembekal pilihan dan boleh dipercayai.

PFLNG SATU dijangka bersedia untuk belayar pada suku kedua 2016.

ARTIKEL YANG SAMA