LNTV terima Anugerah Sumbangan Terbaik ATN

LNTV terima Anugerah Sumbangan Terbaik ATN

SURABAYA, Indonesia, 11 Nov – Atas dedikasi dan sumbangan aktif yang berterusan serta tidak ternilai terhadap projek Pertukaran Berita ASEAN (ATN), Lao National Television (LNTV) dari Demokratik Republik Rakyat Lao telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sumbangan Terbaik pengendali Pertukaran Berita Asia Pasifik (ASIAVISION) tahun ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia, Anies Baswedan semasa Majlis Makan Malam Gala bagi meraikan delegasi negara anggota ASEAN yang menghadiri Mesyuarat ASEAN-COCI ke-50 di Surabaya, baru-baru ini.

Beliau diiringi oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad selaku Pengerusi Kebangsaan ASEAN-COCI Negara Brunei Darussalam.

Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, selaku Pengerusi Sub-komiti ASEAN-COCI dalam bidang Penerangan (SCI) semasa memaklumkan pemenang tahun ini, turut menyampaikan ucapan penghargaan Negara Brunei Darussalam selaku negara penyelaras ATN kepada kesemua negara anggota ASEAN atas kerjasama, sokongan dan sumbangan berterusan terhadap ATN.

Haji Noor Jusmin bersama Anies Baswedan (kiri) dan wakil dari Lao National Television (LNTV) (kanan) semasa penyampaian anugerah tersebut.
Haji Noor Jusmin bersama Anies Baswedan (kiri) dan wakil dari Lao National Television (LNTV) (kanan) semasa penyampaian anugerah tersebut.

ATN yang ditubuhkan pada 1998 merupakan platform yang mempelopori pemberigaan aktiviti masyarakat ASEAN dan projek berterusan rangkaian televisyen negara anggota ASEAN untuk mempromosi usaha membangunkan masyarakat dan menanam kesedaran mengenai ASEAN kepada masyarakatnya.

Sepanjang 17 tahun projek ini berlangsung, ASEAN terus aktif memberi sokongan demi kebaikan bersama. Ia juga diharap akan menyatukan dan memberi inspirasi kepada masyarakat ke arah moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.

Bagi menghargai usaha dan sumbangan ini, ASIAVISION melalui File Transfer Protocol (FTP) telah memberi sumbangan penuh kepada operasi ATN dengan membantu meluaskan pendedahan bahan ATN kepada ahli organisasinya.