Lochte didakwa buat kenyataan palsu

Lochte didakwa buat kenyataan palsu

RIO DE JANEIRO, 26 Ogos – Bintang renang Amerika Syarikat (AS), Ryan Lochte didakwa membuat kenyataan palsu susulan beliau mendakwa dirinya dirompak dengan senjata ketika Sukan Olimpik, kata polis Brazil semalam.

Perenang berusia 32 tahun itu diambang hukuman penjara tapi pihak kehakiman belum mengesahkan kenyataan itu.

“Ryan Lochte dituduh membuat laporan palsu berkaitan jenayah,” kata polis dalam kenyataan. Kes itu sudah dipindahkan ke mahkamah.

Polis berkata bahawa mereka telah mencadangkan kepada mahkamah untuk mengeluarkan saman terhadap Lochte bagi soal siasat.

“Sebaik sahaja dia disaman, sama ada hadir atau tidak, hukuman adalah sama: satu hingga enam bulan penjara,” menurut laman web berita G1 Rio yang dipetik sebagai berkata daripada pegawai polis Clemente Braune.

Gambar fail bertarikh 9 Ogos 2016 menunjukkan reaksi Ryan Lochte dalam Sukan Olimpik Rio 2016, di Rio de Janeiro, Brazil. – AP
Gambar fail bertarikh 9 Ogos 2016 menunjukkan reaksi Ryan Lochte dalam Sukan Olimpik Rio 2016, di Rio de Janeiro, Brazil. – AP

“Jika dia disaman dan tidak hadir dalam pendengaran, perbicaraan akan diteruskan tanpa kehadiran tertuduh sehingga hukuman akhir dijatuhkan.”

Lochte memohon maaf minggu lalu kerana mengeluarkan kenyataan bahawa beliau dan tiga rakan sepasukan telah dirompak oleh perompak yang menyamar sebagai polis semasa dalam perjalanan pulang dari sebuah parti.

Ketua Polis Rio Fernando Veloso kemudian memberitahu sidang media bahawa perenang itu tidak dirompak tetapi ditahan ketika mereka cuba melarikan diri selepas merosakkan bilik mandi di salah sebuah stesen minyak.

Penaja utama seperti Speedo dan Ralph Lauren telah menggugurkan tajaan terhadap Lochte baru-baru ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA