Lochte hilang kontrak penajaan akibat skandal di Rio

Lochte hilang kontrak penajaan akibat skandal di Rio

WASHINGTON, 23 Ogos – Perenang Olimpik Amerika Syarikat (AS), Ryan Lochte hilang empat perjanjian penajaan, semalam – sekali gus tamparan kewangan hebat buat pemenang pingat emas di Rio itu berikutan dakwaan palsu dia dirompak namun diragui oleh pihak polis.

Jenama pakaian renang global, Speedo dan jenama fesyen AS, Ralph Lauren mendahului syarikat utama yang menamatkan hubungan mereka dengan perenang berusia 32 tahun itu sambil menambah tindakan itu dibuat kerana apa yang dilakukan Lochte tidak melambangkan ‘nilai’ yang dipromosikan.

Syarikat tilam, Airweave dan Syneron Candela, syarikat induk bagi sistem pembuangan rambut laser yang dipromosi Lochte juga pantas mengambil langkah sama.

Lochte mendakwa dia dan tiga rakannya – kesemuanya pemenang pingat emas di Rio – diancam oleh perompak yang menyamar sebagai polis selepas berparti namun cerita itu pantas terbongkar menerusi keterangan saksi baru serta rakaman video pengawasan.

Polis berkata kumpulan itu ditahan kerana melakukan kerosakan terhadap tandas di sebuah pam minyak, yang dikatakan diketuai oleh Lochte yang mabuk dan dilihat sesuatu yang amat memalukan buat pasukan AS yang juga gergasi renang dunia.

Gambar fail bertarikh 9 Ogos 2016 menunjukkan Ryan Lochte melihat catatan masa beliau dalam acara bebas 4x200 meter lelaki semasa Sukan Olimpik Rio 2016. – AP
Gambar fail bertarikh 9 Ogos 2016 menunjukkan Ryan Lochte melihat catatan masa beliau dalam acara bebas 4×200 meter lelaki semasa Sukan Olimpik Rio 2016. – AP

“Speedo AS hari ini mengumumkan keputusan untuk menamatkan penajaan Ryan Lochte,” kata syarikat itu dalam kenyataan dan menambah mereka akan menyalurkan sumbangan AS$50,000 daripada pembayaran Lochte kepada badan kebajikan Save the Children yang membantu remaja di Brazil.

“Sekali pun kami menikmati perhubungan dengan Ryan selama lebih sedekad dan dia adalah anggota penting dalam pasukan Speedo, kami tidak boleh membiarkan tingkah laku yang bertentangan dengan nilai yang diterapkan jenama ini sejak lama dulu.

Dalam satu kenyataan kepada E! News, Lochte berkata dia “bersyukur dengan peluang” yang diberikan kepadanya disebabkan hubungannya dengan Speedo – perjanjian 10 tahun yang dijadualkan berakhir tahun ini.

Ralph Lauren yang menjadi pakaian rasmi pasukan AS untuk membuka Olimpik dan upacara penutupan di Rio berkata mereka juga memutuskan hubungan dengan Lochte dan menyatakan perjanjian mereka adalah khusus kepada temasya di Rio dan kontraknya tidak akan diperbaharui. – AFP