Loew bawa masuk Jonathan Tah

Loew bawa masuk Jonathan Tah

EVIAN-LES-BAINS, PERANCIS, 8 Jun – Jurulatih Jerman, Joachim Loew membawa masuk pemain pertahanan Bayer Leverkusen, Jonathan Tah untuk menggantikan tempat Antonio Ruediger yang cedera untuk kempen Euro 2016.

Tah berusia 20 tahun hanya membuat penampilan bersama Jerman pada 26 Mac lalu ketika mereka tewas 3-2 kepada England di

Berlin dan tidak termasuk dalam senarai awal 27 pemain Loew untuk kejohanan di Perancis.

Bagaimanapun, Loew bersetuju memanggil pemain itu semula selepas Ruediger mengalami kecederaan ligamen lutut kanan terkoyak pada latihan, semalam.

Tah yang bermain 29 perlawanan liga bersama Leverkusen berada dalam musim terbaiknya tetapi terlepas perlawanan terakhir bersama pasukan itu kerana keracunan makanan.

“Saya menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada Jonathan dan mengucapkan selamat berjaya,” kata Pengarah Sukan Leverkusen, Rudi Voeller kepada akhbar Koelner Express.

Ruediger yang berusia 23 tahun, dijangka berehat kira-kira enam bulan selepas mengalami kecederaan ketika pergelutan dengan Thomas Mueller.

Pertahanan Roma itu menjadi pilihan pertama untuk mengisi tempat Mats Hummels yang turut bergelut dengan kecederaan betis dan tidak mungkin untuk tampil dalam mana-mana aksi di peringkat kumpulan.

Hanya 15 pemain berlatih bersama pasukan Jerman di Stadium Camille Fournier, hari ini termasuk tiga penjaga gol mereka. – AP

ARTIKEL YANG SAMA